Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sepadan Anwar: PKR kecam Berita Harian
Diterbitkan:  Apr 22, 2011 6:01 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution kesal dengan tindakan media milik Umno - Berita Harian yang didakwa sengaja mensensasikan isu video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan kes masih dalam siasatan polis.

NONE Malah, katanya, amat dikesali apabila Berita Harian dijadikan perkakas Umno-BN untuk merekayasa "perbicaraan melalui media"  yang cukup jelas bernada politik demi mengaibkan dan terus-menerus menganiaya ketua umum PKR itu.

“PKR sekali gus menolak serta membantah sekeras-kerasnya laporan muka hadapan akhbar itu bertarikh 21 April  yang mendakwa sebuah agensi penyiaran terkemuka Korea Selatan telah menganalisis serta mengesahkan bahawa pelaku dalam video tersebut adalah sepadan dengan Anwar berdasarkan perincian saiz tubuh beliau dalam rekod polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian dalam tajuk utamanya semalam juga melaporkan polis telah mengenalpasti lokasi video seks tersebut dirakamkan iaitu di sebuah kondominium di pinggir Kuala Lumpur manakala wanita yang terbabit dalam video seks itu dipercayai seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara.

NONE Selain itu, akhbar tersebut juga melaporkan siasatan polis tidak terlalu memfokuskan pada isu jam tangan Omega, yang sebelum ini didakwa kepunyaan Anwar yang diserahkan kepada polis bersama video berkenaan.

Dakwa Saifuddin, syarikat Korea Selatan itu juga telah dipilih dan diberi maklumat khusus oleh polis supaya pihaknya harus menuruti segala kehendak barisan kepimpinan Umno-BN.

"Harus diingat bahawa syarikat Korea Selatan tersebut telah dipilih dan diberi maklumat khusus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mana ketua-ketua mereka masih menuruti kehendak barisan ahli politik yang mempunyai dendam kesumat terhadap Anwar dan berusaha menamatkan perjuangan reformasi politik beliau," katanya.

Malah tambah Saifuddin, Anwar sendiri selama ini menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam video berkenaan.

"Justeru kredibiliti PDRM sekali lagi terjejas dan dipersoalkan selepas pendedahan oleh bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL, Datuk Mat Zain Ibrahim, dalam beberapa surat terbuka beliau," katanya.

ADS