Masalah S'wak - Sabah sama, LDP diminta bincang
Parti komponen BN Sabah, sepatutnya duduk berbincang bersama dan bukan meluahkan rasa tidak puas hati menerusi media, kata timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin.
Menurut beliau tindakan sedemikian bukan saja tidak menyelesaikan masalah, tetapi juga boleh menimbulkan kekeliruan serta mewujudkan tanggapan berlaku perbalahan pada kalangan anggota BN.
"Saya minta semua parti komponen yang ada masalah yang perlu ditangani agar duduk berbincang dan menyelesaikan isu berbangkit dengan cara berhemah.
"Kita sebuah keluarga. Kita perlukan satu sama lain khususnya ketika berdepan dengan pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kemasyarakatan, di Kota Kinabalu hari ini.
Yahya yang juga setiausaha Umno Sabah mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik Datuk Chin Su Phin baru-baru ini yang mendakwa keputusan pilihan raya Sarawak berpunca daripada kegagalan BN memenuhi keperluan rakyat, khususnya komuniti Cina.
Chin juga dilapor berkata isu kepimpinan yang melanda BN Sarawak adalah sama dengan situasi di Sabah.
- Bernama

