Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima 207,005 borang nyata cukai pendapatan tahun taksiran 2010 melalui kaedah e-Filing sehingga 31 Mac, 2011.
Menurut kenyataan LHDN hari ini, sebanyak 147,601 daripada jumlah itu membabitkan pembayar cukai yang mempunyai amaun cukai terlebih bayar dan layak menerima bayaran balik.
Katanya proses pembayaran balik lebihan cukai pendapatan tahun semasa mengambil masa 30 hari bekerja bagi mereka yang menggunakan e-Filing manakala pembayar cukai yang menggunakan kaedah manual, proses pembayaran balik itu mengambil masa 90 hari bekerja.
"Sebagai memenuhi piagam pelanggan yang telah ditetapkan, LHDN berjaya memulangkan semula amaun baki cukai terlebih bayar bagi tahun taksiran 2010 kepada 135,777 (91.98 peratus) pembayar cukai sehingga 26 April, 2011.
Sebanyak 11,224 kes masih dalam peringkat pemprosesan dan akan diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan itu, kata LHDN.
Sehubungan itu, LHDN meminta pembayar cukai memilih e-Filing untuk mengemukakan borang nyata cukai pendapatan masing-masing.
- Bernama
