Kes Sarbani: Keterangan satu lagi saksi diperlukan
Polis diarah memasukkan keterangan seorang lagi saksi penting kes kematian pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbani Mohamed, bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum ia dihantar semula ke Peguam Negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata kertas siasatan berhubung kematian itu yang dihantar ke Peguam Negara Jumaat lalu, dipulangkan semula kepada polis semalam.
"Ada permintaan daripada Peguam Negara supaya kita dapatkan keterangan lanjut daripada seorang saksi tertentu. Itu kita akan lakukan hari ini dan akan kembalikan semula kertas siasatan tersebut secepat mungkin.
"Bagaimanapun saya tidak boleh menyebut siapa saksi itu dan apa keterangannya," katanya selepas melancarkan "Program Sekolah Angkat Peringkat Kontinjen Kuala Lumpur" di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah, Taman Batu Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh; Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk William Lim dan Ketua Polis Daerah.
Zulkifli berkata, adalah menjadi prosedur biasa kertas siasatan yang dihantar polis ke Peguam Negara dipulang semula bagi melengkap dan melicinkan sesuatu siasatan.
"Memanglah sebelum ini saya kata saya sudah berpuas hati dengan kertas siasatan tersebut, tapi kita kena akur dengan permintaan Peguam Negara. Mungkin ada keterangan lanjut atau penjelasan lain yang dia (Peguam Negara) mahukan, jadi kita kena ikut," katanya.
Polis sebelum ini dilaporkan sudah memanggil 44 orang saksi bagi membantu siasatan kes tersebut.
Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada 6 April lalu selepas dilaporkan ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.
- Bernama

