Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ADUN Umno Pulau Pinang menafikan dakwaan kerajaan negeri itu yang berkata mereka belum menerima wang penghargaan yang dipulangkan oleh warga emas kerana beranggapan ia datang dari sumber yang tidak halal.

NONE ADUN Teluk Bahang, Datuk Seri Hilmi Yahaya, pada sidang media di luar dewan berkata, wang sebanyak RM23,700 yang dipulangkan oleh warga emas telah dikreditkan ke akaun Bendahari Kerajaan Negeri pada 22 Disember lalu.

"Kutipan itu adalah usaha daripada badan bukan kerajaan dan bukannya Umno. NGO kemudiannya menyerahkan wang itu kepada Umno untuk dipulangkan kepada kerajaan negeri," katanya.

Hilmi yang merupakan pemangku ketua pembangkang berkata wang berkenaan dimasukkan ke akaun Maybank kerajaan negeri sebanyak empat kali dengan setiap satu berjumlah RM4,950, RM9,900, RM7,600 dan RM1,250.

"Duit itu tidak hilang seperti yang didakwa oleh kerajaan negeri kerana kita telah kreditkan ke akaun mereka,” katanya.

Beliau dan beberapa ADUN Umno kemudiannya mengemukakan salinan penyata sebagai bukti wang berkenaan telah dipindahkan kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Kami terpaksa masukkan ke dalam bank kerana kerajaan negeri enggan menerimanya semasa percubaan kami sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Georgetown. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, berkata kerajaan negeri masih belum menerima sebarang pemulangan wang itu.

Borang 1

Katanya, setiap warga emas yang ingin memulangkan wang dan menarik diri daripada program itu perlu mengisi Borang Pemulangan Sumbangan Warga Emas RM100 (Borang 1).

azlan "Sehingga 14 April tahun ini, kerajaan negeri masih belum menerima sebarang pemulangan atau permohonan untuk menarik diri daripada mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri," katanya menjawab soalan lisan Tan Cheong Heng (DAP-Padang Lalang).

Tan ingin tahu jumlah warga emas yang menarik diri daripada program itu seperti yang didakwa pembangkang dan jumlah yang menarik diri mengikut DUN.

Phee berkata, hanya pemulangan wang melalui saluran rasmi iaitu menggunakan Borang 1 akan diterima kerajaan negeri.

Beliau berkata, sehingga 1 September tahun lalu, jumlah pendaftaran warga emas yang direkodkan adalah 107,668 orang manakala daripada Januari hingga 7 April tahun ini, jumlah pendaftaran warga emas adalah 114,665 orang.

NONE Sementara itu, ADUN Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed, menjelaskan bahawa Umno tidak pernah menghalang pemberian wang sumbangan RM100 kepada warga emas.

ADUN daripada BN itu berkata, sebaliknya, apa dipertikaikan adalah sumber kewangan untuk Program Penghargaan Warga Emas itu yang didakwa diperoleh daripada hasil perjudian.

"Apa yang dipertikaikan adalah penggunaan wang judi," katanya ketika mencelah pada sesi soal jawab.

ADS