Selangor tubuh Tabung Warisan Bencana Alam
Kumpulan Wang Tabung Warisan Bencana Alam (TWBA) Negeri Selangor ditubuhkan dengan suntikan dana awal RM10 juta bagi membantu kerajaan negeri Selangor menampung perbelanjaan mangsa-mangsa bencana alam.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (
tengah
), berkata TWBA ini ditubuhkan mengikut Seksyen 10 Subseksyen 4 (b), Akta Tatacara Kewangan 1957 yang membolehkan ia menjana dananya sendiri menerusi pelbagai medium pelaburan untuk digunakan berkaitan tujuan penubuhannya.
“Kerajaan Negeri akan memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta dalam tempoh lima tahun. Suntikan awal TWBA akan diberikan sebanyak RM10 juta untuk tahun ini menerusi peruntukan Kerajaan Negeri dalam bentuk geran pelancaran (launching grant).
“Manakala baki dana tersebut akan diberikan dalam tempoh 2012 hingga 2015 sebanyak RM10 juta setahun,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), petang semalam.
Khalid berkata, peruntukan tambahan diperlukan kerana dana awal sebanyak RM10 juta tersebut tidak diperuntukkan dalam Bajet 2011.
“Kita akan meminta kelulusan untuk mengadakan peruntukan tambahan pada sidang Dewan Negeri Selangor yang akan bersidang pada Julai akan datang,” katanya.
Menurutnya, TWBA akan membantu kerajaan negeri menampung perbelanjaan mangsa-mangsa bencana alam menggunakan keuntungan dan lebihan yang dijana daripada dana permulaan yang disuntik TWBA.
Bagaimanapun, dana ini hanya boleh dikeluarkan bagi tujuan sumbangan kepada bencana alam selepas lima tahun iaitu pada 2016 bagi membolehkan dana berkenaan dilaburkan untuk mendapatkan pulangan sewajarnya.
Khalid berkata, matlamat utama TWBA ditubuhkan bertujuan mengasingkan wang perolehan, keuntungan dan lebihan yang ada untuk digunakan dan dinikmati generasi akan datang khususnya perkara yang melibatkan bencana alam.
Ketika ini kerajaan Selangor mempunyai tabung untuk mangsa bencana alam iaitu Kumpulan Wang Amanah Bencana Alam yang ditadbir oleh Perbendaharaan negeri Selangor dengan siling sebanyak RM8 juta.
Bagaimanapun, penggunaannya amat terhad dan terikat dengan arahan amanah dan tidak boleh dilaburkan atau digunakan untuk tujuan lain selain yang ditetapkan dalam akaun amanah.
Khalid juga berkata TWBA boleh menerima sumbangan dari individu dan syarikat yang mahu menjalankan tanggung jawab sosial korporat dengan mendapat pengecualian cukai seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

