Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Kedah: Bukan Islam dibenarkan belajar di KUIN
Diterbitkan:  May 5, 2011 1:03 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Pelajar-pelajar bukan beragama Islam juga kini layak melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

penang kedah timber logging azizan abdul razak 310708 02 Beliau berkata tidak mustahil sekiranya ada pelajar bukan Islam yang berminat menyambung pengajian di KUIN kerana institusi itu kini menawarkan lebih 40 program dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, multimedia dan kejuruteraan.

"Bagi program perubatan, kita akan terima kemasukan pertama pada Julai atau September ini membabitkan lebih 50 pelajar. Kita sudah ada pakar-pakar dalam bidang ini kerana Malaysian Medical Council telah menetapkan bahawa perlu ada pakar untuk menawarkan program ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau perkembangan pembangunan kampus tetap KUIN di Kuala Ketil di Baling semalam, beliau berkata bagaimanapun pelajar-pelajar bukan Islam itu perlu juga mengambil kursus-kursus wajib yang berteraskan kefahaman dalam agama Islam.

Sementara itu Pengerusi Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Mohd Saad Endut berkata fasa pertama pembinaan kampus KUIN membabitkan tanah seluas hampir 130 hektar, yang bermula September 2009 dijangka siap pada Februari 2013.

"Sekarang pembinaan fasa pertama ini sudah siap 23 peratus dan ia lebih satu peratus daripada sasaran kami iaitu 22 peratus dan ini adalah sesuatu yang sangat baik," katanya.

Beliau berkata penggunaan tanah untuk fasa pertama itu adalah sebahagian daripada keseluruhan tanah seluas lebih 330 hektar yang bakinya disimpan untuk pembangunan masa depan.

Fasa pertama yang mampu menampung sehingga 10,000 pelajar itu menempatkan sebuah bangunan canseleri, empat blok bangunan kuliah, sebuah perpustakaan, sebuah dewan serta bangunan-bangunan sokongan.

"Tasik seluas 44 ekar (17.8 hektar) turut dibina sebagai kolam tadahan air dan sesuai juga untuk dijadikan kawasan riadah dan melakukan aktiviti sukan air," katanya.

Mohd Saad berkata BDB juga akan membina sebuah kawasan perumahan berhampiran tapak kampus itu yang akan menawarkan 1,355 unit rumah bercampur untuk menampung warga kolej itu kelak dan ia dijangka siap serentak pada 2013.

- Bernama

ADS