Perdebatan mengenai novel sastera kontroversial Interlok yang dijadikan buku teks pelajar tingkatan lima berterusan untuk hari ketiga di dewan undangan negeri Pulau Pinang hari ini.

Dan bagi membuktikan kerajaan negeri tidak menghargai novel tersebut, Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy mengarahkan semua perpustakaan negeri mengeluarkan buku berkenaan dari seksyen buku teks.

Menjawap soalan lisan seorang penyokong kerajaan RSN Rayer (DAP-Seri Delima), Ramasamy berkata, kerajaan negeri berpendapat kandungan buku itu tetap mempunyai unsur penghinaan etnik walaupun Kementerian Pelajaran telah membuat beberapa pindaan.

NONE Beliau berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat kerajaan negeri semalam dan akan dimaklumkan kepada semua perpustakaan dalam tempoh terdekat.

Menurut Ramasamy kerajaan negeri tidak mengharamkan buku itu tetapi kerana kontroversial yang menyelubunginya, maka novel berkenaan tidak dibenarkan diletak di rak untuk buku teks yang lokasinya agak menonjol di perpustakaan.

Dakwanya, Interlok menghina semua kaum tetapi dipertahankan oleh Umno, khususnya timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga timbalan presiden Umno.

"Buku ini melukakan hati kanak-kanak yang mungkin tidak memahami sejarah negara dan mereka akan mendapat maklumat yang salah, khususnya membabitkan bangsa lain.

"Dengan semua ini, saya rasa agak pelik bagi BN terus mempertahankan buku tersebut... adakah mereka takut kepada PERKASA?” soalnya.

Sebelum ini, kerajaan pusat bersetuju dengan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.

Muhyiddin berkata, daripada 19 perkara itu, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu dalam novelnya dan digantikan dengan perkataan ''golongan yang sama''.

Katanya, tiga perkara lagi iaitu berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai.

[Baca berita penuh]