Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan menghalang Pejabat Peguam Negara daripada mewakili Tan Sri Abdul Rahim Noor dalam saman sivilnya terhadap bekas Ketua Polis Negara itu dan dua pihak lagi.

Saman dalam kamar itu yang disertakan bersama afidavit Anwar, difailkan oleh Tetuan Karpal Singh di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Wisma Denmark, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Bernama, alasan bagi permohonan itu adalah kerana Peguam Negara sebelum ini telah mendakwa Abdul Rahim di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang merupakan perkara yang sama Anwar menyaman Abdul Rahim.

Anwar juga memberi alasan bahawa sebelum ini Peguam Negara berpendirian bahawa tindakan Abdul Rahim adalah salah dan sebagai pendakwa raya, telahpun menekankan supaya hukuman berat dijatuhkan terhadap Abdul Rahim.

Oleh itu, sebarang pendirian bertentangan sekarang, akan menimbulkan "konflik kepentingan" dalam kapasiti Peguam Negara sebagai Peguam Persekutuan dan Pendakwa Raya.

Gantirugi tambahan

Alasan lain yang dimuat dalam saman itu ialah Peguam Negara telah memperjuangkan kepentingan Anwar sebagai pengadu dalam prosiding jenayah terhadap Abdul Rahim.

Dalam saman yang difailkan oleh Anwar pada 8 Jan 1999 lalu, beliau menamakan Abdul Rahim sebagai defendan kedua, untuk memohon gantirugi tambahan dan teladan. Manakala Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia pula masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama dan ketiga.

Pada 15 Mac 2000, Abdul Rahim dijatuhkan hukuman penjara dua bulan penjara dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku salah menyebabkan kecederaan kepada Anwar dalam lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada jam 10.45 malam 20 Sept 1998.

Hukuman denda tersebut telah diketepikan oleh Mahkamah Tinggi pada 15 Dis, 2000, Bagaimanapun Mahkamah Rayuan kemudiannya telah mengekalkan semula hukuman denda tersebut.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hishamudin Mohd Yunus menetapkan 14 Ogos depan untuk pengurusan kes setelah ia disebut di hadapannya dalam kamar.

Anwar yang mendakwa beliau mengalami trauma, penghinaan, tekanan dan rasa malu semasa penahanannya, juga menuntut kos dan faedah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.