Persidangan ulama kebangsaan menggesa supaya kesemua enam sekolah agama rakyat (SAR) yang diarahkan ditutup di Johor awal tahun ini, dibenarkan beroperasi semula.

Gesaan ini terkandung dalam resolusi yang diluluskan di persidangan tersebut anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Persatuan Ulama Kedah (PUK) dan kerajaan negeri Kedah, pada 5 Julai lalu.

Menurut Yang Dipertua PUK, Syeikh Abu Bakar Awang, alasan untuk menutup sekolah-sekolah terbabit adalah tidak adil, malah ianya didorong oleh sikap prejudis kerajaan Johor terhadap SAR.

"Persidangan menggesa jika terdapat apa-apa kesalahan yang telah berlaku, maka sikap lebih terbuka dan bersifat kemanusiaan hendaklah digunakan," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penutupan SAR yang sudah lama beroperasi, bukan sahaja tidak wajar malah, akan merugikan orang Islam sendiri.

Pelan bertindak

"Jikapun ada masalah yang timbul mengenai perjalanan SAR berkenaan, maka seharusnya diperbaiki dan dipulihkan perjalanan sekolah terbabit, dan bukannya langkah drastik mengarahkan penutupannya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PUK yang menjadi pengerusi resolusi tersebut, akan mengembleng tenaga di seluruh tanahair untuk membantu SAR.

Menurut Syeikh Abu Bakar, satu pelan bertindak bagi memperkasakan SAR, akan dilancarkan dengan kerjasama Gerakan Bertindak Umat Selamatkan SAR ( Gegar ).

Katanya, antara penekanan dalam pelan bertindak itu ialah menubuhkan yayasan SAR untuk menjana dana dari sumbangan masyarakat bagi membantu sekolah terbabit.

Selain itu, ianya bertujuan untuk memperkukuhkan pengurusan SAR dan menjadikan SAR sebagai satu sistem pendidikan Islam alternatif dan pelengkap kepada yang ada sekarang.

Kegiatan militan

Sementara itu, Bernama melaporkan, Kementerian Pendidikan belum memutuskan tentang status Madrasah Tarbiyah Luqmanul Hakiem di Ulu Tiram, Johor yang ditutup selepas beberapa gurunya ditahan kerana dikaitkan dengan kegiatan militan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Johor, Hamzah Ramli memberitahu pemberita di Johor, kerajaan negeri tidak dimaklumkan sama ada sekolah itu akan dibuka semula atau tidak.

Madrasah milik persendirian itu ditutup awal tahun lalu kerana didakwa oleh pihak berkuasa menjadi tempat persembunyian dan berkumpul anggota militan Jemaah Islamiah (JI).

Mereka yang didakwa pernah berada atau menjadi tenaga pengajar di sekolah itu, termasuk Imam Samudra, Ali Ghufron atau Mukhlas, Hambali @ Riduan Isamuddin dan Amrozi, kesemuanya rakyat Indonesia.

Kecuali Hambali yang masih tidak dapat dikesan, yang lain sedang dibicarakan kerana didakwa terbabit dengan kejadian pengeboman di Bali yang menyebabkan lebih 200 orang terbunuh.