Mahkamah Sesyen di Butterworth mengarahkan pendakwaan meminda pertuduhan terhadap bekas Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Hasbie Satar, yang didakwa memiliki wang daripada hasil aktiviti haram berjumlah RM2,134,656.

NONE Hakim Mohd Zairan Aman berkata pendakwaan perlu menyatakan jenis aktiviti haram yang dilakukan tertuduh bagi membolehkan dia melakukan pembelaan.

"Pendakwaan seharusnya mengkategorikan tertuduh di bawah mana-mana 16 kesalahan berat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001," kata beliau pada prosiding mahkamah hari ini.

Hasbie, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Teluk Air Tawar pada 11 Februari tahun lalu, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anslen Charles Fernandis manakala Hasbie diwakili peguam Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei depan untuk sebutan semula kes.

 - Bernama