Beberapa pihak dalam Umno tidak selesa dengan kenyataan beberapa pemimpin kanan Umno yang seolah-olah membayangkan bahawa semua jawatan, kecuali kecuali jawatan presiden dan timbalan presiden, boleh ditandingi dalam pemilihan parti yang akan datang.

Menurut sumber-sumber parti, jika berdasarkan kepada kenyataan ketua penerangan Umno, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub mengenai perkara tersebut baru-baru ini, itulah kesimpulan ramai pihak dalam Umno, termasuk di peringkat akar umbi.

Megat Junid dilaporkan berkata, ianya selaras dengan amalan demokrasi yang diamalkan oleh Umno di mana ahli-ahli yang layak, boleh bertanding sebarang jawatan dalam parti.

"Memang benar apa yang dikatakan oleh Tan Sri Megat Junid itu, tetapi keadaan semasa politik parti juga perlu diambilkira," katanya.

Menurutnya, sebarang kemungkinan berlakunya pergolakan dalam parti perlu dielakkan sementara menunggu peralihan kuasa dari Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kepada timbalannya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Oktober ini..

Melatah

"Malah, Datuk Hishamuddin Hussein Onn juga turut melatah apabila beliau juga membuat kenyataan bahawa jawatan dalam pergerakan Pemuda Umno pimpinannya juga boleh dipertandingkan," tambahnya.

  1. Katanya, begitu juga dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, yang enggan menafi atau mengesahkan -- ketika ditanya pemberita -- sama ada benar khabar angin yang mengatakan beliau akan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno yang kini disandang oleh Hishamuddin.

"Semua kenyataan ini boleh mengelirukan ahli-ahli parti. Dan pada masa yang sama, mungkin ada pihak yang mahu menangguk di air keruh untuk kepentingan politik mereka," tambahnya.

Katanya, kemungkinan jawapan Dr Mohd Khir itu tidak merujuk secara langsung kepada soal pertandingan bagi jawatan ketua Pemuda, tetapi sebaliknya beliau berkata demikian kerana tidak mahu memanjang-manjang perkara itu.

"Jika itulah maksud beliau, malangnya ia tidak difahami pemberita. Malah akhbar utama arus perdana pun melaporkan seolah-olah beliau enggan mengesah atau menafikan akan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno," tegasnya.

Kontroversi

Oleh itu, katanya, pemimpin-pemimpin kanan parti perlu lebih berhati-hati ketika mahu membuat apa-apa kenyataan mengenai perkara-perkara yang boleh mencetuskan kontroversi, terutama yang berkaitan dengan pemilihan parti.

"Kita tidak mahu nanti ada pihak yang beranggapan, apabila Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepada Pak Lah, semua jawatan dalam parti akan dipertanding...anggapan sebegini lebih banyak mudarat daripada kebaikannya," tambah beliau.

Ditanya mengenai keghairan beberapa lamanweb menyiarkan spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya pertandingan bagi jawatan ketua Pemuda Umno, sumber-sumber itu berkata:

"Biarlah...lagi pun ia hanya spekulasi...mungkin tidak betul. Yang pentingnya pemimpin Umno sendiri janganlah membuat kenyataan yang boleh dianggap boleh mengesah perkara itu.

"Yang penting, pemimpin dan ahli Umno jangan melihat apa yang berlaku di luar parti, seperti laporan-laporan dalam lamanweb berkenaan...yang penting mereka perlu melihat ke dalam bagi memastikan keutuhan pertama terus terjaga."