ISIS: Ekonomi M'sia bergantung prestasi China
Petumbuhan ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak tujuh peratus dalam tempoh enam bulan kedua tahun ini, dirangsang oleh penurunan harga minyak mentah dan kemajuan yang dicapai dalam projek-projek besar di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Bagi tahun ini, Kenanga Research mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasarnya pada 5.7 peratus.
Firma penyelidikan itu berkata harga minyak mentah yang turun ke bawah paras US$100 setong, merupakan berita baik bagi ekonomi maju dan membangun.
Harga minyak yang semakin meningkat dalam pasaran antarabangsa mungkin memberi manfaat kepada Malaysia yang merupakan pengeksport bersih petroleum, tetapi sebaliknya subsidi bahan api menghakis dana negara.
"Kami mengharapkan pertumbuhan yang jauh lebih teguh, di dalam dan luar negara," kata Kenanga Research dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Dr Mahani Zainal Abidin, meramalkan KDNK negara boleh berkembang pada kadar enam peratus tahun ini meskipun dunia mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah.
Untuk mencapai pertumbuhan ini, katanya, kerajaan mestilah mengekalkan tokokan ETP yang mengagumkan tahun lepas dan melaraskannya sejajar dengan ekonomi semasa, ekoran kenaikan kos bahan api.
"Sasaran itu boleh menjadi realiti jika kita terus menerima pelaburan dan disokong oleh permintaan domestik yang teguh, di samping mengekalkan dasar-dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan," katanya kepada Bernama dalam satu temubual.
Dr Mahani berkata ekonomi Malaysia sedang dalam proses mengembalikan ekonomi ke paras normal selepas mengalami pertumbuhan kukuh tahun lepas yang menyaksikan KDNK meningkat sebanyak 7.2 peratus.
Beliau berkata kemajuan ekonomi Malaysia juga bergantung kepada prestasi China.
"Jika China memperlahankan ekonominya dengan mengamalkan dasar-dasar monetari yang ketat untuk membendung inflasi, permintaannya bagi sumber-sumber kita akan berkurangan," katanya.
Pertumbuhan KDNK dunia dijangka menyederhana kepada empat hingga lima peratus tahun ini, selepas pemulihan kukuh pada 2010, kata Dr Mahani.
- Bernama

