Jawatankuasa khas pendidikan mengenai sekolah agama rakyat (SAR) tidak akan menafikan peluang Gerakan bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar) untuk menyumbang maklumbalas berhubung isu mengenai pendidikan Islam.

Mengulangi kesedian untuk bertemu Gegar, setiausaha jawatankuasa berkenaan, Izzudeen Effendi memberitahu malaysiakini pihaknya sedang berusaha mendapatkan tarikh dan masa yang sesuai dalam masa terdekat ini, untuk bertemu Gegar.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengerusi Gegar Mohd Azmi Abdul Hamid yang menyatakan rasa kecewa pihaknya kerana tidak dapat berjumpa jawatankuasa berkenaan untuk memberi pandangan berhubung isu SAR.

"Kami tidak pernah berniat untuk menafikan peluang mereka untuk turut menyumbang dalam hal sekolah agama rakyat. Sebab itulah, sebelum ini, kami telahpun menetapkan masa untuk menemui mereka beberapa bulan lepas."

"Bagaimanapun, pertemuan itu terpaksa dibatalkan kerana Gegar terpaksa mengadap Sultan Kedah pada waktu yang sama. Selepas pembatalan itu, kami tidak dapat mencari masa yang sesuai untuk mengadakan pertemuan baru," katanya Izzudeen.

Sehingga ini, katanya, jawatankuasa itu masih tidak dapat mencari masa yang sesuai kerana ianya juga terpaksa mengadakan pertemua dengan pelbagai pihak yang ingin memberi pendapat mengenai perkara itu, di samping beban kerja yang banyak.

Memorandum

"Saya harap Gegar dapat bersabar. Pertemuan itu perlu diadakan dalam masa yang sesuai kerana kami mahu mengadakan perbincangan dua-hala yang boleh membuahkan hasil," katanya.

Sementara itu, Izzudeen memberitahu kajian mengenai SAR sedang berjalan lancar mengikut jadualnya, walaupun banyak yang perlu dilakukan.

Beliau juga menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu SAR kerana ia boleh mencacatkan usaha pihaknya untuk memperkasakan pendidikan Islam demi kesejahteraan anak Melayu.

Kontroversi berhubung isu SAR tercetus Oktober lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pemberhentian bantuan kewangan kepada sekolah agama tersebut.

Dr Mahathir mendakwa sekolah terbabit bukan menyebarkan pengajaran Islam tetapi sebaliknya menyemai kebencian pelajarnya terhadap kerajaan. Bagaimanapun, pendokong SAR menyangkal dakwaan itu dan berkata keputusan itu dibuat atas dasar politik Umno.

Perdana Menteri itu juga mengumumkan keputusan muktamad bahawa kerajaan tidak akan memberi semula bantuan pekapita sebaliknya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji isu pendidikan Islam.

Dalam mesyuarat ke-196 Majlis Raja-Raja bulan Mac lalu, sebuah jawatankuasa khas diarah ditubuhkan dengan mengambil kira kesemua memorandum yang telah diserahkan kepada majlis tersebut.