Pendedahan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang beliau telah menerima ugutan politik "akan menerima padahnya" selepas persaraan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad Oktober ini dijangka mencetuskan satu lagi kontroversi terbaru dalam Umno.

Lebih-lebih lagi, apabila Shahidan mendakwa kumpulan yang mengugutnya itu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bakal mengambil alih kuasa dari Dr Mahathir Oktober ini.

Menurut sumber-sumber Umno, sekali pandang ungutan yang diterima oleh Shahidan itu tidaklah memeranjatkan kerana beliau sendiri tidak lekang daripada pelbagai kontroversi.

Ini termasuk tindakannya mempelawa lelaki Islam yang ingin beristeri lebih dari satu, supaya datang berkahwin di Perlis yang tidak mempunyai syarat-syarat ketat untuk mereka berpoligami.

Baru-baru ini beliau mengumumkan mengenai rancangannya untuk mengadakan seminar bertajuk "Mulut Orang Melayu" bagi mencari punca mengapa bangsa tersebut gemar menuduh dan menfitnah satu sama lain.

Bagaimanapun, dakwaan Shahidan yang kumpulan yang mengugutnya itu menggunakan nama Abdullah adalah sesuatu yang amat serius.

"Ianya menggambarkan seolah-olah akan berlaku perubahan besar dalam barisan kepimpinan di peringkat negeri dan kebangsaan apabila berlakunya peralihan kuasa nanti," tambah sumber-sumber ini.

Menonjol diri

Katanya, pendedahan yang dibuat oleh Shahidan itu mungkin mendorong pemimpin-pemimpin Umno lain yang mungkin menerima 'ugutan' yang sama untuk turut mendedahkannya.

Menurut laporan Bernama hari ini, Shahidan berkata, beliau kecewa kerana nama Abdullah sering digunakan oleh kumpulan itu untuk mengaitkan masa depannya sebagai menteri besar.

"Dengan cara tak elok (mereka) buat ugutan politik kononnya lepas Oktober 'jaga kamu'. Saya nak bagi tahu mereka bahawa lepas Oktober, tak ada apa berlaku, kecuali pilihanraya," katanya pada pemberita di pejabatnya.

Shahidan, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, berkata kumpulan berkenaan menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri untuk mencari jalan singkat menonjolkkan diri untuk mendapat pengaruh politik.

Menurutnya lagi, kumpulan itu bercita-cita untuk memburu kedudukan dalam politik di Perlis dengan menjadikan perubahan pucuk pimpinan parti yang bakal berlaku pada Oktober ini sebagai landasan membuat ugutan itu.