Dua parti pembangkang utama di negara ini menggesa kerajaan Malaysia dan Singapura supaya mengenepikan kepentingan dan ego masing-masing dan segera berusaha mencari penyelesaian melalui rundingan terhadap isu bekalan air ke republik tersebut..

Dalam satu kenyataan bersama, presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail dan presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Syed Husin Ali menegaskan pemimpin Malaysia-Singapura mengetepikan sentimen dan bertindak secara rasional demi hubungan baik di antara kedua-dua negara dan juga ketenteraman di rantau Asean,

"Kami tidak ingin melihat kontroversi ini menjejaskan hubungan dua negara tetangga yang sangat berdekatan, yang sepatutnya dijaga dengan baik. Bahkan kami berpendapat kerjasama dan persefahaman hendaklah digalakkan dan dipelihara bagi seluruh rantau Asean sepanjang masa," tambah mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, kepimpinan kedua-dua belah pihak sedang menggunakan isu air untuk menaikkan semangat patriotisme dan menguatkan sokongan orang ramai kepada pemerintah masing-masing.

"Wujud kepentingan diri berhubung kontroversi ini, yang tidak memberi apa-apa faedah kepada rakyat sekiranya tidak diselesaikan. Malangnya, kontroversi ini dipersulitkan lagi dengan masalah lain seperti tuntutan Pulau Bukit Putih, tanah keretapi di Tanjung Pagar, penambakan Selat Tebrau dan wang simpanan pekerja Malaysia di Singapura.

Menurut mereka, Malaysia pernah mempunyai peluang pada 1987 untuk mengkaji semula perjanjian air dan menyemak semula harga air yang dibekalkan ke Singapura, tetapi ianya tidak digunakan.

"Kenapa baru sekarang, selepas lebih dua dekad berlalu, baru soal semakan harga hendak ditimbulkan? Lagi pula, pemerintah Singapura mendakwa mereka telah menawarkan harga baru, yang mula-mula diterima, tetapi ditolak semula apabila Malaysia menukar fikiran.

Teruskan rundingan

"Apakah ini benar? Jikalau benar, mengapa berlaku dolak-dalih? Kami bersetuju bayaran 3 sen bagi 1,000 gelen air adalah terlaku rendah, lebih menguntungkan Singapura, tidak adil dan patut sekali di semak semula.

Wan Azizah dan Syed Hussin menyokong penuh tuntutan pemerintah Malaysia supaya harga ini dinaikkan kerana mengikut Malaysia, Singapura untung lebih RM600 juta dari jualan airnya pada tahun 2000.

"Tetapi kami dimaklumkan bahawa Malaysia sendiri pun mendapat keuntungan juga apabila menjual air yang sudah diproses di Singapura kepada pengguna di negara ini dengan harga lebih tinggi daripada harga beliannya.

"Sebenarnya, harga murah air dari Johor ke Singapura ini tidak berubah dari awal lagi kerana kesalahan dan kecuaian pemerintah Malaysia sendiri. Mangapakah sekarang hendak disalahkan orang lain? Mengapakah kepimpinan Malaysia tidak mengambil tanggungjawab?," tegas mereka.

Pada masa yang sama, kata mereka, perundingan dan penyelesaian sulit perlu dicapai kerana sikap pemimpin Singapura yang terlalu bongkak dan ianya diburukkan lagi dengan tindakan republik itu menerbitkan surat-menyurat rahsia antara pemimpin kedua-dua negara.

"Kami menganggap tindakan ini bukan sahaja bertentangan dengan tatasusila dan etika hubungan antara negara, bahkan ia meruncingkan lagi hubungan kedua negara. Tindakan balas Malaysia menerbitkan iklan media dan buku kecil boleh dipertahankan, tetapi tidak membantu meredakan keadaan," tambah mereka.

Sambil menggesa kerajaan Singapura dan Malaysia supaya tidak memburukkan lagi keadaan, Wan Azizah dan Syed Husin menggesa pemimpin kedua-dua buah negara supaya segera berusaha mencari penyelesaian melalui jalan rundingan.