Pemuda Parti Keadilan Rakyat terima ahli wanita
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti Keadilan telah mengambil keputusan untuk membuka pintu kepada pemudi menyertai pergerakan pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) - parti gabungan Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Keputusan itu yang dibuat pagi semalam, kemudiannya disahkan oleh jawatan peralihan PKR.
Menurut sumber parti, pada awalnya, beberapa pemimpin tidak bersetuju dengan cadangan itu, tetapi selepas dibincangkan selama dua jam, mereka akhirnya akur demi kebaikan parti baru PKR.
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti Keadilan telah mengambil keputusan untuk membuka pintu kepada pemudi menyertai pergerakan pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) - parti gabungan Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Keputusan itu yang dibuat pagi semalam, kemudiannya disahkan oleh jawatan peralihan PKR.
Menurut sumber parti, pada awalnya, beberapa pemimpin tidak bersetuju dengan cadangan itu, tetapi selepas dibincangkan selama dua jam, mereka akhirnya akur demi kebaikan parti baru PKR.
Sebelum ini isu tersebut telah menjadi penghalang utama terhadap proses penggabungan parti Keadilan dan PRM kerana sayap pemuda Keadilan hanya terbuka kepada pemuda sahaja dan ada di antara pemimpinnya yang membantah cadangan itu.
Difahamkan, struktur barisan kepimpinan Pemuda itu akan diputuskan oleh ketua peralihan Pemuda PKR, Mohd Ezam Mohd Nor.
Sementara itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika dihubungi, mengesahkan keputusan tersebut. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai mesyuarat yang diadakan itu.
"Kami bermesyuarat semalam dan membuat keputusan itu. Pengumuman rasmi akan dibuat sewaktu majlis pelancaran parti baru 3 Ogos depan. Butir-butir terperinci mengenainya juga akan diumumkan pada hari berkenaan," katanya.
Pindaan
Sementara itu, Mohd Ezam mengalu-alukan keputusan itu yang dianggapnya sebagai "sesuatu yang positif dan progresif".
"Keputusan itu menunjukkan Keadilan tidak menyimpang daripada semangat reformasi dan tidak takut melakukan perubahan demi kebaikan rakyat. Ini selaras dengan tuntutan dan wawasan pemuda.
"Kami mahu memastikan yang sayap ini benar-benar mewakili pandangan setiap pemuda. Inilah juga sebabnya mengapa kami memutuskan untuk meminda perlembagaan parti untuk menghadkan umur ketua pemuda kepada 40 tahun," tambahnya.
Menurutnya lagi, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan sayap pemuda negeri untuk menjelaskan kepada mereka mengenai keputusan tersebut.
Mengenai barisan kepimpinan exco pemuda, Mohd Ezam berkata, perbincangan mengenai perkara itu hanya boleh diadakan dengan pemuda PRM, selepas pelancaran parti baru itu nanti.
Berjalan lancar
"Saya akan mengadakan perjumpaan rasmi dengan rakan-rakan dari PRM selepas majlis pelancaran. Untuk sementara ini, kami akan terus mengadakan perjumpaan tidak rasmi bagi memastikan proses penggabungan berjalan lancar," tegasnya.
Ditanya mengenai kedudukan wanita dalam pergerakan itu nanti, Mohd Ezam berkata mereka akan diberi hak yang sama dengan pemuda, dan tidak akan dihad memegang jawatan tertentu sahaja.
"Mereka mempunyai hak untuk memegang sebarang jawatan dalam pergerakan itu, termasuk jawatan ketua pemuda. Pandangan ini dikongsi semua pihak dalam pergerakan ini," tambahnya.
Sambil menolak pendapat yang kemasukan wanita ke dalam sayap pemuda akan menjejaskan peranan mereka dalam parti, Mohd Ezam berkata: "Saya tidak fikir begitu. Memanglah isu mereka berlainan dengan kita. Jadi selepas mencapai umur tertentu, mereka boleh meneruskan perjuangan melalui Wanita."
Malah, katanya, ahli wanita dalam parti itu tidak dipaksa untuk menyertai pergerakan pemuda dan mereka diberi kebebasan untuk memilih menyertai sayap wanita.
Menguntungkan parti
Sementara itu, ketua Pemuda PRM, Faisal Sanusi juga mengalu-alukan keputusan itu dan melahirkan kelegaannya kerana isu itu akhirnya berjaya diselesaikan.
"Saya yakin langkah itu akan berjaya menarik lebih ramai ahli, terutamanya di kalangan wanita muda. Ini akan menjadi fokus utama pergerakan ini," tambahnya.
Walaupun ada pihak yang membantah keputusan itu, Faisal bagaimanapun percaya mereka sudah sedar bahawa ianya akan menguntungkan parti.
Timbalannya, Latheefa Koya yang turut mengalu-alukan keputusan itu, berharap setiap pihak yang berbabit akan menerimanya.
"Saya gembira kerana tidak perlu lagi membahaskan isu ini, sebaliknya akan dapat tertumpu kepada isu-isu yang lebih penting seperti proses penggabungan parti," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.