Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendapati Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Dr Hilmi Yahaya tidak menyalahgunakan kuasanya.

Siasatan BPR setakat ini belum menemui bukti menunjukkan Dr Hilmi telah memberi arahan kepada pihak Imigresen untuk menarik balik pembatalan permit kerja warga asing yang dimaksudkan itu.

Menurut Bernama , siasatan SPR mendapati beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam syarikat B Braun Medical di Bayan Lepas, Pulau Pinang. BPR membuat penjelasan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dr Hilmi sebelum ini didakwa menggunakan kuasanya untuk menarik balik pembatalan permit kerja seorang pengarah syarikat farmasi warga asing di Bayan Lepas yang dikatakan terlibat dalam satu kes gangguan seksual terhadap seorang wanita.

Bagaimanapun, timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu telah menafikan dakwaan bahawa beliau campur tangan dalam kes itu.

Menurut kenyataan dua muka surat itu lagi, BPR berkata, pihaknya menumpukan siasatan kes kepada kesalahan penyalahgunaan kuasa mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Menurutnya, siasatannya bukan terhadap dakwaan terdapat campurtangan Dr Hilmi mengenai kes gangguan seksual terhadap mangsa.

Fokus siasatan

Menurut kenyataan itu, siasatan BPR menjurus kepada dua persoalan penting, sama ada, pertama, Dr Hilmi menyalahgunakan kuasanya dengan memberi arahan kepada pihak Imigresen untuk menarik balik pembatalan permit kerja ekspatriat di syarikat farmasi tersebut, dan kedua sama ada beliau mempunyai kepentingan peribadi dalam syarikat tersebut.

Menurut BPR lagi, setakat ini semua pihak yang terlibat, termasuk jabatan kerajaan, swasta dan individu tertentu, telah memberikan kerjasama yang baik, dengan membantu BPR dalam mendapatkan saksi dan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kes itu.

"BPR telahpun mendapatkan keterangan lebih daripada 85 peratus saksi-saksi yang diperlukan. Semua saksi-saksi yang berada di Pulau Pinang telah ditemubual," menurut kenyataan itu.

Menurut BPR lagi, pihaknya juga mengambil keterangan Dr Hilmi dan beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya.

BPR bagaimanapun perlu menemubual beberapa saksi yang berada di luar Pulau Pinang.

"Ada beberapa saksi di luar Pulau Pinang yang perlu ditemubual dan ini sedang diusahakan untuk membolehkan siasatan BPR dapat disempurnakan bulan ini," kata kenyataan itu.