Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mendesak pihak polis supaya mengadakan siasatan yang menyeluruh ke atas akar umbi MCA bagi menanggani pengaruh kongsi gelap yang didakwa wujud dalam parti itu.

Sehubungan itu, DPPP mempertikaikan siasatan polis sebelum ini yang mengatakan tidak wujud kongsi gelap dalam MCA walaupun ketua Pemudanya Datuk Ong Tee Keat tetap mempertahankan dakwaannya mengenai perkara itu.

"Sepertimana yang didedahkan oleh Datuk Ong, keganasan dan rusuhan semasa mesyuarat agung Pemuda MCA yang lalu adalah berpunca daripada pengaruh kumpulan ini," kata ketua DPPP, Mahfuz Omar dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, bimbang budaya kongsi gelap itu terus berkembang dan mempengaruhi kepimpinan parti-parti politik, khususnya MCA yang merupakan parti kedua terkuat dalam pakatan Barisan Nasional (BN).

"Ia bukan sahaja turut mengembangkan budaya keganasan di kalangan parti-parti BN, tetapi turut mempengaruhi kepimpinan negara dalam membuat keputusan-keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat," tambahnya..

Beliau juga mendakwa yang DPPP mendapat maklumat bahawa Jackie Chan yang pernah ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad kerana kegiatan jenayahnya, telah dibebaskan pada tahun 2000 melalui pengaruh Datuk Ong Ka Ting ketika beliau menjadi timbalan menteri dalam negeri.

Guna pengaruh

Menurut Mahfuz, pembebasan itu telah membolehkan Jackie Chan bergiat cergas dalam MCA dengan memegang jawatan sebagai ketua MCA Cawangan Persiaran Gurney, dii Pulau Pinang.

"Adalah tidak munasabah untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) membebaskan seorang penjenayah yang sehingga kini masih berbahaya. Tiba-tiba atas pengaruh seorang timbalan menteri, dia dibebaskan.

"Para pemimpin MCA yang dipengaruhi Jackie Chan ( kiri ) sebahagiannya adalah menteri dan sudah tentu pengaruhnya turut memberi kesan kepada Kabinet," tambahnya.

"Dan tidak mustahil sekiranya pengaruh peribadi yang disokong oleh kumpulan kongsi gelap ini akan mempengaruhi sikap seorang menteri sekiranya tindakan kerajaan memberi kesan ke atas kepentingan kompulan kongsi gelap ini," tambahnya.

Mahfuz juga menolak anggapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa penglibatan kongsi gelap ini tidak boleh dianggap menyebabkan keseluruhan MCA menjadi kongsi gelap.

Katanya, DPPP juga mempersoalkan sikap Pak Lah selaku Menteri Dalam Negeri yang didakwanya "terlalu mempertahankan MCA" sehingga tidak memberi laluan kepada polis untuk membuat siasatan.