Ketika isu perjanjian konsesi balak bernilai berjuta-juta ringgit di antara Umno Pahang dan syarikat balak Seruan Gemilang Makmur (SGM) kini menjadi tumpuan umum kerana didakwa berbau rasuah, parti berkenaan pula mendakwa pihaknya telah menjadi mangsa kepada perjanjian itu dan kini membuat tuntutan balas gantirugi.

Dalam afidavit yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 17 Jun lalu, setiausaha Umno Pahang Ahmad Tajudin Sulaiman berkata, pihaknya tidak menyedari wujudkan perjanjian tersebut dan tidak pernah meluluskannya.

Katanya, SGM gagal untuk menyatakan kebenaran dan menyediakan maklumat tepat, maka oleh itu, syarikat berkenaan tidak mempunyai alasan untuk menuntut sebarang gantirugi.

Umno Pahang telah mengemukakan rayuan itu terhadap perintah mahkamah sebelum ini yang memerintahkannya membayar gantirugi RM70,000 kepada SGM, selepas syarikat balak itu mendakwa pihak Umno negeri telah melanggar kontrak konsesi balak yang ditandatangani dengannya.

Kes rayuan tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuantan Rabu depan.

Menurut afidavit itu, Umno Pahang mendakwa perjanjian itu tidak disahkan secara rasmi oleh pihaknya.

"Perjanjian itu telah ditandatangi oleh setiausaha kerja, yang tidak mempunyai kuasa untuk mewakili pihak parti. Perjanjian itu juga tidak dimeteraikan," kata Ahmad Tajudin dalam afidivit berkenaan, yang salinannya telah diperolehi oleh malaysiakini .

Cap meterai Umno

Bagaimanapun, satu lagi dokumen dalam simpanan malaysiakini , menunjukkan perjanjian itu sebenarnya telah ditandatangani dan disahkan dengan cap meterai Umno negeri.

Perjanjian itu telah ditandangani oleh setiausaha kerja Umno Pahang Abdullah Rahman bagi pihak parti itu pada 2 Oktober 2000.

Lapan bulan sebelumnya, bendahari parti Abdul Rashid Abdul Rahman telah menulis sepucuk surat sokongan kepada jabatan perhutanan negeri sebagai menyokong permohonan SGM mendapatkan lesen membalak.

Melalui perjanjian di antara Umno Pahang dan SGM itu, syarikat berkenaan telah diberi hak eksklusif untuk menebang kawasan konsesi balik seluas 10,000 ekar milik Umno negeri, dan sebagai balasannya, membayar sejumlah RM50,000.

Ahmad Tajuddin juga mendakwa bahawa Umno Pahang tidak melanggar perjanjian kontrak berkenaan kerana wang RM50,000 itu tidak pernah ditunaikan.

Katanya lagi, SGM meminta setiausaha kerja supaya jangan memasukkan cek bertarikh 6 Oktober 2000 ke dalam bank pada hari berkenaan kerana akaun bank tidak mempunyai wang yang mencukupi.

Lesen tidak dibaharui

Umno Pahang juga meminta sejumlah bayaran gantirugi daripada syarikat berkenaan dengan alasan pihaknya telah mengalami kerugian akibat daripada kegagalan tersebut.

Menurut Ahmad Tajudin, SGM telah memperolehi keuntungan daripada aktiviti pembalakannya di tanah milik Umno itu walaupun berjanjian tersebut tidak sah.

"Tanah tersebut sepatutnya dibersihkan oleh SGM supaya Umno Pahang boleh memulakan tanaman kelapa sawit. Sehingga kini, SGM telah dan masih gagal untuk membersihkan tanah tersebut dan Umno Pahang menganggap SGM telah enggan untuk berbuat demikian. Atas alasan-alasan tersebut, tanaman telah dilewatkan and Umno Pahang telah mengalami kerugian dan kerosakan," tambahnya.

Semalam, malaysiakini melaporkan SGM menuntut gantirugi berjumlah RM31 juta daripada Umno Pahang kerana gagal mendapatkan lesen untuk syarikat berkenaan, daripada jabatan perhutanan untuk membolehkannya membalak di kawasan baki 3,000 daripada 10,000 ekar di Nenasi, yang terletak kira-kira 100km di selatan Kuantan.

Pada bulan Mac 1998, kerajaan negeri Pahang yang diterajui oleh pengerusi Umno negeri, Tan Sri Khalil Yaacob - telah memberi kontrak membalak yang dianggarkan berjumlah RM100 juta kepada Umno Pahang.

Berikutan itu, Umno Pahang telah diminta membuat bayaran premium berjumlah RM4.8 juta kepada jabatan perhutanan negeri. Bagaimanapun, sehingga ini bayaran itu belum dibuat.

Umno negeri kemudiannya menjual hak konsesi membalak di kawasan tersebut kepada SGM dengan harga RM50,000 sahaja, dengan memberi hak ekslusif kepada syarikat berkenaan untuk menebang, mengeluar dan menjual balak di situ.

Bagaimanapun, hubungan di antara Umno Pahang dan SGM telah terjejas Jun lalu apabila jabatan perhutanan negeri enggan membaharui lesen membalak kepada SGM.

SGM disaman

Adalah dipercayai Menteri Besar sekarang Datuk Adnan Yaakob, yang mengambil alih jawatan itu daripada Khalil pada 1999, telah enggan mencampuri urusan tersebut, ini telah memaksa SGM mencari penyelesaian melalui mahkamah.

Khalil yang kini merupakan setiausaha agung Umno, sebelum ini telah dituduh mengagihkan kawasan balak tanpa mengikut kuota yang ditetapkan Dasar Perhutanan Negara ketika menjawat menteri besar pahang antara 1986 hingga 1999.

Satu siasatan dalaman Umno telah dijalankan terhadap Khalil tiga tahun lalu, tetapi sehingga ini belum diketahui hasilnya.

Pada 13 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan - setelah Umno Pahang gagal menghadiri perbicaraan - memerintah parti berkenaan membayar SGM sejumlah RM70,000. Bagaimanapun, syarikat berkenaan menganggap jumlah itu terlalu rendah.

Para pemerhati berpendapat Umno Pahang boleh menutup perkara itu dengan membayar gantirugi yang diperintah oleh pihak mahkamah. Bagaimanapun, parti itu mengambil keputusan untuk mengemukakan rayuan.

Sementara itu, malaysiakini difahamkan SGM juga telah disaman oleh sebuah syarikat kilang kayu di Negeri Sembilan sejumlah RM2.8 juta kerana kegagalannya meneruskan bekalan kayu balak kepada kilang berkenaan, berikutan masalahnya dengan Umno Pahang.

Kedua-dua syarikat berkenaan menandatangani perjanjian itu berdasarkan pemberian hak membalak yang diberikan oleh Umno Pahang kepada SGM.