Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini adalah tidak adil dan tidak patut bagi pihak pendakwa untuk mengandaikan yang bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melarikan diri jika beliau dibebaskan dengan ikat jamin.

Oleh itu, peguam Karpal Singh memohon kepada mahkamah supaya mengetepi pandangan itu kerana tidak ada bukti yang menunjukkan Anwar boleh berbuat demikian jika beliau dibenarkan ikat jamin.

"Tiada bukti yang dikemukakan (oleh pihak pendakwa) untuk menunjukkan pemohon akan melakukan kesalahan jika dibenarkan ikat jamin. Mereka bersikap tidak adil kepada pemohon," kata Karpal.

Beliau menegaskan demikian ketika menjawab afidavit yang dikemukakan oleh timbalan pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Dalam afidavit itu, Tun Abdul Majid berhujah, oleh kerana masa depan tidak boleh diramalkan, maka tiada jaminan yang Anwar tidak melanggar undang-undang jika dibenarkan ikat jamin.

Afidavit itu dikemukakan bagi pihak Pejabat Peguam Negara bagi menyokong bantahan pihak pendakwa terhadap permohonan Anwar dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja untuk dibenarkan ikat jamin, sementara menunggu rayuan mereka terhadap hukuman meliwat Azizan Abu Bakar yang akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan

Tetap tabah

Anwar telah dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara kesalahan itu manakala Sukma pula dihukum enam tahun penjara dan empat sebatan.

Sambil menggesa mahkamah membenarkan Anwar diikatjamin, Karpal memberi jaminan kepada mahkamah bahawa tiada sebarang kemungkinan yang Anwar akan melarikan diri.

"Mengapa beliau akan berbuat demikian? Orang ini bangun menentang Perdana Menteri pada 1998, dan beliau kemudiannya dipecat (dari Umno dan kerajaan) dan tuduhan terbuka dibuat terhadapnya. Tetapi, beliau (Anwar) tidak melarikan diri.

"Beliau telah didakwa, dua kali disabitkan kesalahan dan beliau masih tabah. Beliau tidak akan melarikan diri. Beliau adalah seorang yang akan berjuang hingga ke akhirnya," tambah Karpal.

Beliau juga mengingatkan mahkamah bahawa keputusan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi (untuk mensabit hukuman ke atas kedua-duanya) belum muktamat kerana masih ada ruang seterusnya di Mahkamah Persekutuan.

"Orang ini dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah - ini adalah haknya mengikut perlembagaan. Jadi, sehingga keputusan muktamat dibuat di Mahkamah Persekutuan, maka kedua-dua pemohon tidak harus dinafikan hak mereka untuk mendapat kebebasan," tegasnya.

Isu baru

Karpal juga mempersoalkan tindakan pihak pendakwa untuk mendedahkan jumlah lawatan peguam Anwar dan anggota keluarnya sejak beliau dipenjarakan di Sungai Buloh.

"Apa yang mahu dikatakan oleh pihak pendakwa? Perbicaraan diadakan, ikatjamin tidak dibenarkan. Kami (peguam) tiada pilihan tetapi terpaksa pergi ke sana (penjara) untuk mendapatkan arahan.

"Saya ingin menegaskan bahawa kami menghadap beberapa sekatan untuk menemui beliau. Kami perlu mendapatkan kebenaran hingga ke peringkat penguasa (penjara) sebelum dapat menemui beliau," tambahnya.

Pihak peguamcara sebelum ini telah memberitahu bahawa Anwar telah dilawati oleh peguamnya sebanyak 332 kali dari Januari 2001 hingga April lalu. Pada masa yang sama, ahli keluarganya telah melawat beliau di penjara Sungai Buloh selama 174 kali.

Karpal juga memberitahu mahkamah perayu telah menimbulkan isu baru berhubung perundangan dalam pengeluaran notis alibi yang mempersoalkan kesahihan undang-undang perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Katanya, mahkamah juga perlu menimbang keadaan kesihatan Anwar di mana beliau mengalami sakit belakang yang bertambah teruk apabila beliau dibelasah selepas ditahan pada tahun 1998.

Sementara itu, dalam hujah balasnya, Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail pula berkata, Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan ikatjamin selepas ianya mensabit kesalahan kedua-dua pemohon.

Bidangkuasa mahkamah

Katanya, memandangkan kes rayuan itu akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan, maka hanya mahkamah tersebut sahaja yang boleh membenarkan ikatjamin atau penangguhan hukuman.

"Mahkamah mempunyai strukturnya dan di sinilah kita mempertahankan integritinya. Setiap mahkamah mesti memainkan peranan masing-masing dan mengikut bidangkusa masing-masing," tambahnya.

Abdul Ghani juga turut mempertahankan afidavit yang dikemukakan oleh Tun Majid dan menyifatkan kenyataannya (Tun Majid) sebagai adil.

"Tiada siapa yang tahu, apa yang bakal berlaku pada masa depan. Inilah adalah satu hakikat. Hanya Tuhan yang tahu apa yang akan berlaku. Kami tidak mengatakan yang dia (Anwar) akan melakukan kesalahan, tetapi kami juga tidak menolak kemungkinan itu. Kami mengatakan tiada jaminan buat masa ini," tegasnya.

Katanya, pihak pendakwa mendedahkan jumlah lawatan pihak peguam untuk menemui Anwar bagi menunjukkan bahawa Anwar tidak pernah dinafikan daripada menemui peguam dan juga anggota keluarganya.

Abdul Ghani juga berhujah bahawa andaian tidak bersalah sehinggalah dibuktikan demikian, tidak boleh dipakai dalam kes Anwar dan Sukma kerana mereka telahpun disabitkan kesalahan oleh pihak mahkamah dan hukuman itu telah dikekalkan.

Alasan kukuh

"Andaian ini tidak boleh dipakai selepas seseorang itu didapati bersalah dan hukuman itu mesti diterima sebagai keputusan yang betul sehinggalah ianya diketepikan. Jadi, keadaan telah berubah," katanya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan hujah pemohon bahawa pihak pendakwa mesti mengemukakan bukti mengapa mereka tidak boleh dibenarkan ikatjamin.

Sebaliknya, kata beliau, ianya menjadi tanggungjawab pihak pemohon untuk mengemukakan alasan untuk menjustifikasikan permohonan ikat jamin itu.

Menurut beliau lagi, undang-undang menetapkan bahawa "tidak ikatjamin boleh beroperasi sebagai penangguhan hukuman bagi mana-mana kes rayuan"

Bagaimanapun, katanya, mahkamah boleh menggunakan budibicaranya untuk membenarkan ikatjamin selepas ianya yakin bahawa pemohon telah mengemukakan "keadaan istimewa" untuk meluluskan permohonan itu.