Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusannya terhadap permohonan ikatjamin bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap hukuman kes liwat terhadapnya.

Hakim Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Hashim Mohd Yusof dan Datuk Richard Malanjum berkata, mereka memerlukan masa untuk meneliti hujah pihak pendakwaraya dan peguambela.

Bagaimanapun, mereka memberi jaminan akan mengumumkan keputusan secepat mungkin.

"Kami memerlukan masa untuk menimbang semua hujah yang dikemukakan. Kami tidak akan mengambil masa yang lama dan juga akan menyediakan keputusan bertulis," kata Pajan Singh.

Anwar dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja memohon ikatjamin sementara menunggu rayuan mereka terhadap hukuman meliwat Azizan Abu Bakar didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada tahun 2001, Anwar telah dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara bagi kesalahan itu manakala Sukma pula dihukum enam tahun penjara dan empat sebatan.

Amalan terdahulu

Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka April lalu, turut membatalkan ikatjamin RM50,000 terhadap Sukma dan memerintahnya menjalani hukumannya.

Sebelum ini, peguambela Christopher Fernando mendakwa ini adalah kali pertama dalam tempoh 25 tahun di mana peguam negara membantah permohonan ikatjamin.

Beliau menggesa mahkamah menimbang permohonan ikatjamin berdasarkan kepada kes dan amalan terdahulu.

Katanya, sepanjang tempoh 25 tahun lalu, mahkamah membenarkan ikatjamin semasa perbicaraan dan juga ketika menunggu rayuan dibuat.

Sambil memetik kes-kes seperti yang membabitkan ahli politik Umno Sahar Arfan dan Datuk Saidin Thamby (yang dibenarkan ikatjamin walaupun dijatuhkan hukuman kerana rasuah), Fernado berkata, ia menunjukkan pihak peguam negara jarang membantah permohonan itu.

Sebaliknya, kata beliau, pihak pendakwa telah mengemuka bantahan terhadap permohonan ikatjamin yang dikemukakan oleh Anwar.

Simpati

Berdasarkan amalan-amalan sebelum ini, maka Fernando menyifatkannya tindakan pihak pendakwa itu sebagai amalan amalan dwi-standard dalam bidang kehakiman.

Katanya, oleh kerana pihak pendakwa tidak membantah permohonan ikatjamin bagi kes-kes yang serupa dengan Anwar, maka bantahan pendakwa kali ini bertentangan perlembagaan yang menyatakan semua orang berhak menerima layanan sama.

Malah, katanya, alasan-alasan yang dikemukakan, lebih daripada mencukupi bagi mahkamah membenarkan permohonan ikatjamin Anwar yang mengalami sakit pinggang yang semakin teruk selepas beliau dibelasah semasa berada di dalam tahanan..

Katanya, peguam negara sepatutnya memperlihatkan rasa simpati dengan keadaan Anwar yang terpaksa menggunakan kerusi roda, dengan menyokong permohonan ikatjaminnya.

Seorang lagi peguambela Anwar, Karpal Singh melahirkan rasa terperanjatnya dengan hujah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menyatakan jika mahkamah membenarkan Anwar diikatjamin, ia akan mencerminkan mereka kurang keyakinan dalam membuat keputusan (menolak rayuan Anwar).

"Adalah memeranjatkan bagi pihak peguam negara menyatakan sedemikian. Jika itu halnya, mengapakah seksyen 57 (mengenai bidangkuasa Mahkamah Rayuan berhubung ikatjamin dan penangguhan hukuman) ada dalam Akta Mahkamah Kehakiman?

Peluang cerah

Katanya, setiap kes perlu dihakimi berdasarkan keadaannya yang tersendiri dan oleh itu, pihak mahkamah hendaklah meluluskan permohonan ikatjamin yang dikemukakan oleh Anwar.

Sementara itu, peguambela Sukma, Gobind Singh Deo memberitahu mahkamah yang anak guamnya mempunyai peluang yang cerah untuk kes rayuannya dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Oleh itu, beliau menggesa mahkamah supaya meluluskan permohonan pelanggannya untuk dibenarkan ikatjamin dan penangguhan hukuman.

Katanya, rayuan itu dibuat berdasarkan kepada tiga keputusan Mahkamah Persekutuan yang menunjukkan ianya tidak betul

Oleh itu, katanya, adalah tidak adil bagi mahkamah untuk memenjarakannya sekarang dan kemudian membebasnya kerana mendapatinya tidak bersalah.