Ketua Hakim Negara Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim menyifatkan sebagai tidak adil, dakwaan bahawa hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkan kesalahan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tuduhan rasuah dan liwat, telah mendapat "ganjaran" masing-masing, dengan dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan hari ini.

Sambil menolak dakwaan itu sebagai tidak berasas, beliau menegaskan perlantikan kesemua lapan hakim baru Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan hari ini, dibuat berdasarkan kepada banyak faktor, antaranya kebolehan, integriti, pengalaman dan tingkahlaku mereka.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas majlis mengangkat sumpah jawatan di Dewan Persidangan Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur. Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail telah mengurniakan Suratcara Pelantikan kepada mereka di Istana Negara.

Perlantikan hari ini turut mengesahkan laporan malaysiakini semalam mengenai perlantikan hakim Datuk Arifin Jaka dan Datuk S Augustine Paul - yang telah mensabitkan Anwar bagi kesalahan tersebut - sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Dua orang lagi yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan ialah Tengku Datuk Baharudin Shah Tengku Mahmud dan Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman

Ianya juga mengesahkan khabar angin sebelum ini bahawa Datuk Pajan Singh Gill - yang mengetuai penal tiga hakim yang menolak rayuan Anwar terhadap hukuman bagi kesalahan liwat - dilantik memegang jawatan hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi di negara ini.

Tidak naik pangkat

Turut dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan ialah Datuk Abdul Hamid Mohamad, Datuk Wira Mohd Noor Ahmad dan Datin Paduka Rahmah Hussain. Kesemua mereka kini berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Menurut Ahmad Fairuz adalah tidak adil bagi mana-mana pihak mendakwa yang hakim-hakim berkenaan dinaik pangkat semata-mata kerana mereka telah menjatuh hukuman sembilan tahun penjara ke atas Anwar bagi kesalahan liwat.

Malah, katanya, ada hakim-hakim lain yang turut mendengar kes Anwar tetapi tidak mendapatkan kenaikan pangkat.

Katanya, beliau juga ada mendengar sesetengah pihak yang mendakwa kenaikan pangkat bagi hakim-hakim yang pernah mendengar kes Anwar itu, menunjukkan tiada wujud kebebasan dalam bidang kehakiman.

"Saya rasa itu tidak benar. Para hakim telah mengangkat sumpah masing-masing. Mereka mesti melihatkan kepada bukti, undang-undang dan mereka yakin terdapat bukti yang mencukupi untuk mensabit kesalahan," tambahnya.

Kebebasan mahkamah

Ahmad Fairuz berkata beliau berpuashati dengan perjalanan perbicaraan kes Anwar setakat ini, dan yakin kesemua hakim yang terbabit, telah bertindak secara adil berdasarkan kepada fakta, bukti dan undang-undang.

Oleh itu, katanya, adalah tidak betul untuk menafikan kenaikan pangkat bagi hakim-hakim yang berkelayakan, hanya kerana mereka telah menjatuhkan hukuman ke atas Anwar.

"Jika hakim-hakim yang mendengar kesnya (Anwar) adalah bagus dan layak dinaikkan pangkat, mengapa tidak?" tegasnya.

Menurutnya, pandangan seumpama itu adalah tidak adil terhadap hakim-hakim yang juga telah membuat keputusan, sepertimana keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan ikatjamin bagi ketua Pemuda Keadilan Mohd Ezam Mohd Nor.

"Mahkamah telah mendengar kes Ezam dan membuat keputusan yang menyebelahinya. Mengapa ianya tidak pula dianggap sebagai keputusan yang tidak bebas? Jadi apabila mahkamah membuat keputusan yang menyelebelahi mereka, maka mahkamah dianggap bebas...tetapi jika sebaliknya, mahkamah tidak bebas. Ini tidak betul," katanya.

Hakim terkanan

Ditanya mengenai ada antara hakim-hakim yang dilantik itu masih baru , Ahmad Fairuz berkata sejak 1983, badan kehakiman telah mengambil faktor kekananan hanya sebagai antara faktor yang dipertimbangkan sewaktu memutuskan untuk kenaikan pangkat.

Katanya, ini selaras dengan Prinsip 13 dalam Prinsip Asas Kebebasan Kehakiman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang antara lain, menekan bahawa kebolehan, integriti dan pengalaman adalah faktor paling penting dalam perlantikan para hakim.

Ketika diberitahu yang ada antara ahli Majlis Peguam yang berpendapat bahawa sebahagian daripada hakim terkanan, juga berkelayan sepertimana hakim-hakim yang dilantik hari ini, Ahmad Fairuz berkata:

"Peguam melihatnya dari kacamata mereka, tetapi sebagai Ketua Hakim Negara, saya melihatnya bukan sahaja dari kacamata peguam yang hanya mengenali mereka (hakim) sewaktu hadir di mahkamah. Tetapi saya lebih mengenali hakim-hakim, lebih daripada mereka. Saya juga tahu mengetahui kehidupan peribadi mereka."