Kegagalan pelaksanaan projek kerajaan adalah disebabkan wujudnya kepentingan parti politik tertentu untuk mengambil kesempatan bagi memperkukuhkan sumber kewangan parti dengan memberi projek kepada syarikat yang menyokong mereka, tanpa menghirau kemampuan mereka, kata sebuah badan bukan kerajaan, Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Menurutnya lagi, ketiadaan ketelusan dalam pengagihan projek mega kerajaan dan amalan kronisme adalah antara sebab utama mengapa Malaysia mengalami kerugian berjuta-juta ringgit.

Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid berkata perubahan sistem bayaran projek seperti yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu serta menghantar Badan Pencegah Rasuah menyiasatnya, tidak akan dapat mengatasi gejala ini selagi punca-punca sebenarnya tidak diatasi.

Beliau menggesa supaya kerajaan mendedahkan secara lengkap tentang pengurusan projek-projek yang gagal, syarikat yang mengendalinya, bagaimana mereka dipilih dan hubungan politik mereka dengan mana-mana pihak atau individu.

Beliau menegaskan demikian ketika mengulas tentang kegagalan syarikat pembinaan yang gagal menyiapkan pembinaan makmal komputer di sekolah-sekolah kerajaan.

Perkara itu pada mulanya didedahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Aziz Shamsudin berikutan sebahagian besar daripada makmal komputer terbabit gagal disiapkan mengikut jadual, sehingga lewat setahun.

Berikutan itu, Samy Vellu mengesahkan 574 daripada 600 makmal komputer bagi Zon Timur (Kelantan, Pahang dan Terengganu) merbahaya untuk digunakan kerana ianya tidak dibina mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Politik sempit

Lebih RM600 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan makmal komputer di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Kontroversi ini juga telah mencetus kemarahan parti pembangkang yang mahu kerajaan, tertutama Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamed supaya bertanggungjawab dan memberi penjelesan,

Kata Mohd Azmi lagi: "Teras menuntut pihak kerajaan menjelaskan kenapa semua ini berlaku sedangkan kerajaan kerap mendakwa ianya sistem pentadbirannya adalah antara yang terbaik didunia.

"Kami lebih kesal kerana projek-projek ini melibatkan berjuta-juta ringgit wang awam (rakyat," tambahnya.

Mengenai pendedahan demi pendedahan tentang penyelewangan projek-projek kerajaan, Mohd Azmi mendakwa ianya disebabkan oleh "fenomena politik tikam menikam" di antara kementerian-kementerian terbabit.

"Teras menggesa agar kepentingan menguruskan wang rakyat secara beramanah dan tidak hanya menjadi slogan kosong kerajaan serta mengatasi kepentingan peribadi dan politik sempit," katanya.