Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penganjur konsert MTV World Stage Live yang akan membariskan kumpulan 30 Seconds to Mars akan meneruskan penganjuran konsert tersebut pada 24 Julai walaupun menerima bantahan daripada penduduk tempatan.

 

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh naib presiden eksekutif kepada Viacom International Media Networks – konglomerat media yang memiliki MTV Networks – Indra Suharjono.

NONE Indra berkata, pihaknya yakin bahawa konsert yang akan diadakan di lokasi kontroversi – I-City Shah Alam itu akan berjaya diadakan pada tarikh berkenaan.

"MTV telah mementaskan acara konsert global televisyen di Malaysia sejak 2008.

"Kita telah bekerjasama rapat dengan I-City, Shah Alam bagi memastikan bahawa "MTV World Stage Live in Malaysia 2011" mematuhi kesemua keperluan tempat dan komuniti (di situ).

"Kami yakin bahawa kami akan mengadakan acara yang dikenang dan berjaya pada 24 Julai," katanya lagi dalam satu kenyataan yang diperolehi Malaysiakini .

Terdahulu, seorang jurucakap pihak MTV berkata aduan tersebut bukan ditujukan kepada konsert tersebut tetapi kepada lokasi konsert berkenan – I-City Shah Alam.

Sumber itu berkata, MTV tidak berniat untuk membuat sebarang perubahan dalam penganjuran konsert tersebut memandangkan pihak I-City telah bersetuju untuk meneruskan konsert tersebut.

“Isunya di sini ialah I-City, bukan isu MTV. Jadi kami akan biarkan pihak I-City yang menjelaskannya,” kata jurucakap ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung bantahan daripada penduduk Seksyen 7, Shah Alam yang "menghujani" pejabatnya berhubung lokasi konsert tersebut.

Penduduk berkenaan mendakwa, I-City terletak terlalu hampir dengan kediaman mereka dan akan menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas.

Khalid juga menegaskan menegaskan bahawa pusat teknologi I-City tidak sesuai dijadikan tempat untuk penganjuran konsert berbentuk hiburan.

Apa pun, konsert berkenaan masih belum mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Salah seorang ahli majlis, Izham Hashim memberitahu Malaysiakini bahawa kelulusan bagi konsert berkenaan masih dalam pertimbangan MBSA.

Katanya, perkara itu diberitahu oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Mohd Atan dalam satu mesyuarat bersama ahli majlis berkenaan pada pagi ini.

“Pihak I-City sendiri perlu sedia maklum bahawa perkara yang melibatkan perlesenan perlu dibawa kepada jawatankuasa perlesenan (MBSA).

"Kita ada jawatankuasa perlesenan yang akan membincangkan perkara tersebut” kata Izham, yang juga salah seorang jawatankuasa berkenaan ketika dihubungi.

Tambahnya, jawatankuasa itu akan mengadakan satu lagi mesyuarat, selewat-lewat pada 8 Jun bagi menimbang kelulusan konsert berkenaan.

Izham juga berkata, penganjur berkenaan perlu memenuhi syarat untuk memastikan tiada unsur perjudian dan pergaulan bebas berlaku dalam konsert berkenaan.

ADS