Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM kagum dengan semangat sukarela belia
Diterbitkan:  May 28, 2011 4:04 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melahirkan rasa kagumnya dengan semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan golongan belia negara ini bagi menjayakan program "Himpunan Sejuta Belia 2011" di Putrajaya yang bermula semalam sehingga 29 Mei.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, menyifatkan sikap yang ditunjukkan golongan belia itu sebagai pencapaian yang boleh dibanggakan.

"Yang amat istimewa ialah semangat kesukarelawanan. Saya dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mereka datang sendiri, mereka tidak disediakan apa-apa logistik. Mereka buat khemah sendiri cari tempat, menguruskan pasukan sendiri, biasanya kita kena menanggung dengan perbelanjaan besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak aktiviti 'Himpunan Sejuta Belia', di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin juga gembira kerana sambutan itu yang menyasarkan menghimpunkan sejuta belia di Putrajaya sudah dicapai dalam tempoh dua hari walaupun ia berakhir esok.

Katanya sambutan itu akan diteruskan pada masa akan datang memandangkan ia menjadi daya tarikan utama kepada golongan belia yang menyediakan ruang untuk mempamerkan kebolehan dan kemahiran mereka dalam bidang yang diminati termasuk sukan, muzik dan kerjaya.

"Saya rasa hari ini istimewa kerana berpeluang untuk menyaksikan sendiri kehadiran sejumlah yang agak besar belia, sasaran sejuta itu saya dimaklumkan sudah dicapai. Di sini saya merasakan nadi dan jantung belia Malaysia berhimpun di Putrajaya," katanya.

- Bernama

ADS