Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Biasiswa JPA: Nasib 86 pelajar ditentukan esok

Jemaah Menteri akan bermesyuarat esok bagi menentukan sama ada 86 pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang 9A+ dalam peperiksaan SPM tetapi gagal mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam boleh melanjutkan pelajaran mereka di luar negara.

NONE "Saya, Menteri Kesihatan Liow Tiong Lai dan Menteri Sumber Manusia Dr S Subramaniam akan menimbulkan perkara itu dan membuat rayuan kepada kabinet esok,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Rayuan itu akan dikemukakan berikutan mesyuarat pemimpin parti komponen BN yang diadakan sebelum sidang akhbar ini.

Pertemuan itu diadakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Mohamed Nazri sebagai menteri bertanggungjawab mengenai biasiswa JPA untuk berbincang dengan parti komponen bagi menyelesaikan isu berkenaan yang disifatkan berpunca daripada kekeliruan.

Kuota terpaksa dinaikkan

Antara wakil parti komponen yang hadir ialah Timbalan Presiden MCA yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Naib Presiden MIC, Datuk S K Devamany, Naib Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan Presiden LDP, Liew Vui Keong. 

“Mesyuarat hari ini sebulat suara bersetuju untuk buat rayuan kepada jemaah menteri esok supaya ditimbangkan permintaan bagi 86 pelajar ini," katanya.

Ahli politik, NGO, pelajar yang kecewa dan ibu bapa berang kerana ramai pelajar cemerlang gagal mendapatkan biasiswa JPA. Ada juga yang ditawarkan tempat di universiti tempatan sedangkan mereka memohon untuk belajar di luar negara. Ada pula yang ditawarkan biasiswa untuk program diploma sedangkan mereka mahu mengikuti program matrikulasi.

azlan Nazri berkata, sekiranya rayuan itu diluluskan bermakna kuota biasiswa JPA bagi pengajian di luar negara tahun ini terpaksa dinaikkan, namun tegasnya ia tidak bermakna kuota itu akan ditambah secara tetap.

"Kita akan lihat berasaskan tahun ke tahun," katanya.

Turut dibangkitkan ialah mengenai tawaran mengikuti kursus matrikulasi yang dikatakan menimbulkan kekeliruan di kalangan pelajar, yang mana menurut Nazri akan turut dibawa ke pengetahuan jemaah menteri esok.

Taklimat media

"Tawaran untuk mengikuti kursus matrikulasi tahun ini dibuat secara terbuka, tidak dinyatakan secara khusus apa subjeknya. Ini menimbulkan kekeliruan kepada pelajar. Jadi apa yang diminta ialah untuk Kementerian Pelajaran (KPM) kembali kepada cara sebelum ini," katanya.

Mengenai saranan supaya kesemua pelajar 9A+ dan 8A+ yang tidak mendapat tempat ke luar negara ditawarkan kursus matrikulasi dan bukannya diploma, Nazri berkata, perkara itu perlu diselaraskan dengan KPM terlebih dahulu.

NONE "Saya dapat jaminan daripada JPA bahawa perkara itu boleh dilakukan, tetapi kita perlu bincang dengan KPM kerana pemberian tempat ini, sama ada matriks atau diploma adalah di bawah bidang kuasa KPM. Asalkan mereka kata semua matrikulasi JPA akan keluarkan biasiswa tidak ada masalah," katanya.

Selain itu, Nazri berkata, sebagai langkah mengelak kekeliruan mengenai pemberian biasiswa di masa-masa akan datang, mesyuarat mencadangkan supaya satu taklimat diberikan kepada pihak media untuk menjelaskan mengenai pemberian biasiswa dan jenis-jenis biasiswa yang diberikan sebelum pengumuman mengenainya dibuat.

[Baca berita penuh]

ADS