'Video saja bukan bukti beli undi'
Sebarang rakaman video menunjukkan pengundi mendapat wang bukan bukti yang mencukupi di mahkamah bagi membuktikan pembelian undi.
Ini menurut badan bebas yang menilai kes yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Sesiapa sahaja boleh beraksi dalam video. Kita tidak boleh bergantung (pada rakaman sebegitu) kerana setiap orang boleh melakukannya," kata pengerusi panel penilai itu Hadenan Abdul Jalil dalam sidang media di Kuala Lumpur.
Hadenan, bekas ketua audit negara, berkata adalah tidak adil untuk mendakwa seseorang berdasarkan dakwaan tanpa bukti kukuh.
"Di penghujungnya, pendakwaan mesti (didokong) bukti kukuh dan (mesti) selari dengan undang-undang baru. Kita mengamalkan prinsip persamaan (antara penuduh dan tertuduh)."
Jawapan Hadenan itu sebagai respons kepada dakwaan bermaharajalelanya pembelian undi dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini.

