Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) akan melancarkan pusat aduan rakyat (PAR) dalam usaha mendekati dengan rakyat serta bagi mendengar masalah mereka untuk disalurkan kepada pihak berkuasa.

Pusat itu ditubuhkan melalui Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) DPP dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu.

Ia akan dirasmikan oleh Ketua Pemuda PAS pusat, Mahfuz Omar pada 24 Ogos depan bertempat di pejabat PAS Kawasan Batu, yang juga akan menjadi pusat operasi PAR.

Pengarah Juham, Ahmad Sabki Yusof yang akan mengetuai PAR, berkata pusat itu akan menyediakan kaunter aduan undang-undang, kaunter pemeriksaan kesihatan, kaunter aduan pengguna, kaunter aduan kebajikan, kaunter perubatan akupuntur dan kaunter pendaftaran pengajian.

Katanya, DPP berharap orangramai akan memanfaatkan kewujudan pusat aduan itu semaksima mungkin dengan menyalurkan aduan mengenai apa sahaja masalah yang dihadapi.

"PAR akan memberi pelbagai bentuk bantuan termasuk mengadakan tindakan proaktif bagi menyelesaikan masalah yang diadukan," kata Ahmad dalam satu kenyataan hari ini.

Ceramah

Beliau berharap penubuhan PAR akan memberi peluang lebih luas kepada rakyat untuk menyampaikan masalah dan tuntutan mereka kepada pihak-pihak tertentu, khususnya pihak berkuasa.

"Untuk memeriahkan lagi suasana hari perasmian, karnival rakyat akan diadakan sepanjang hari tersebut mulai jam 9 pagi hingga 5 petang," katanya.

Menurutnya, pihak penganjur juga telah menjemput pakar motivasi, Engku Azri Engku Abdul Rahman untuk memberi ceramah motivasi untuk kanak-kanak mulai jam 10 pagi.

Manakala peguam syarie Haji Mohamad Burok pula akan menyampaikan ceramah bertajuk "Hak-hak wanita dalam institusi kekeluargaan Islam" pada jam 11.30 pagi.

"Pakar kesihatan, Dr Hamid Arshad pula akan menyampaikan ceramah bertajuk 'Kesihatan keluarga dalam membentuk masyarakat sejahtera' pada jam 2 petang," tambahnya.