PAS: pembalakan di Tganu dijalankan secara sah
Kerajaan Terengganu tidak pernah bertindak hingga ke peringkat menjadikan pembalakan haram sebagai sumber untuk menambah hasil kewangan negeri daripada hasil balak, kata exconya Datuk Mustafa Ali.
Katanya, semua keputusan dan urusan berhubung pemberian konsesi balak dibuat melalui sistem tender terbuka, dan juga lain-lain aktiviti membalak, dilakukan mengikut undang-undang negeri dan persekutuan.
Mustafa yang merupakan pengerusi jawatankuasa petroleum, industri dan sumber manusia Terengganu, menjelaskan demikian ketika diminta mengulas laporan dalam lamanweb Selangor Daily , yang mendakwa berlakunya penyelewengan dalam proses mengeluarkan konsesi balak di negeri itu.
Kerajaan Terengganu tidak pernah bertindak hingga ke peringkat menjadikan pembalakan haram sebagai sumber untuk menambah hasil kewangan negeri daripada hasil balak, kata exconya Datuk Mustafa Ali.
Katanya, semua keputusan dan urusan berhubung pemberian konsesi balak dibuat melalui sistem tender terbuka, dan juga lain-lain aktiviti membalak, dilakukan mengikut undang-undang negeri dan persekutuan.
Mustafa yang merupakan pengerusi jawatankuasa petroleum, industri dan sumber manusia Terengganu, menjelaskan demikian ketika diminta mengulas laporan dalam lamanweb Selangor Daily , yang mendakwa berlakunya penyelewengan dalam proses mengeluarkan konsesi balak di negeri itu.
Baru-baru ini, lamanweb pro-Umno itu menyiarkan salinan surat yang didakwa dikeluarkan oleh jabatan perhutanan Terengganu bertarikh 7 Nov 2001 kepada syarikat Harum Elit Holdings Sdn Bhd, berkaitan urusan pembalakan di Hulu Terengganu.
Surat itu mengandungi beberapa pindaan dalam tulisan tangan oleh seorang yang dikenali sebagai "Datuk Azman Abdullah" yang turut menandatangani satu nota yang menyatakan perjumpaan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mustafa boleh diatur dengan syarikat berkenaan. Malah, katanya, surat tawaran boleh dikeluarkan serta merta.
Mengulas perkara itu, Mustafa kata: "Itu mesti dokumen palsu. Kami tidak pernah membuat tawaran kepada syarikat itu. Saya diberitahu yang jabatan berkenaan mengeluarkan surat kepada syarikat-syarikat yang telah disenarai-pendekkan untuk memberi taklimat, dan surat-surat ini telah disalahgunakan dan dipalsukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan wang panas."
Sistem tender terbuka
Oleh itu, katanya, kerajaan negeri tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi perbuatan seumpama itu dan mana-mana yang pihak yang telah ditipu sepatutnya merujuk kepada jabatan berkenaan, sebelum membuat sebarang bayaran.
"Ini sebabnya kami mengamalkan sistem tender terbuka. Proses ini menjamin ketelusan untuk mencegah sebarang tipu muslihat dalam urusan berkaitan," kata Mustafa kepada malaysiakini hari ini.
Beliau juga menyangkal tuduhan bahawa pembalakan haram dijalankan di kawasan Tembar dan Petuang yang terletak di barat laut Terengganu, - membabitkan kawasan seluas 15,661 hektar yang dipilih menjadi tapak pembinaan empangan hidroelektrik kedua di negeri itu.
Katanya, memandangkan balak merupakan sumber kewangan kerajaan negeri, sebarang keputusan mengenainya, akan terlebih dahulu dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan, termasuk jabatan perhutanan dan jabatan alam sekitar untuk mendapatkan kelulusan.
Perkara yang sama , katanya, telah dilakukan dalam semua urusan yang membabitkan di kawasan berkenaan.
"(Berikutan adanya aduan) pegawai penguatkuasaan daripada jabatan alam sekitar dan jabatan hutan memeriksa tapak terbabit dan mereka mengesahkan semuanya mengikut peraturan, dan sungai di situ juga bebas daripada pencemaran.
Pengurusan hutan terbaik
"Percayailah, jika kami membuat sesuatu yang salah, sudah pasti mereka akan mengambil tindakan terhadap kami. Sebagai bukti dasar dan keputusan kami berhubung aktiviti pembalakan adalah berkesan, Mac lalu kami menerima anugerah ISO 9002 bagi pengurusan hutan terbaik.".
Terdapat dakwaan bahawa kayu balak sedang ditebang di kawasan itu, sedangkan projek empangan kedua itu telah dibatalkan.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikatakan bercadang untuk membina empangan itu beberapa tahun yang lalu, walaupun pengerusinya Datuk Awang Adek baru-baru ini menafikan adanya rancangan seumpama itu.
Sambil menafikan yang rancangan itu sebagai "cakap-cakap politik" sahaja, Mustafa berkata kerajaan negeri meneruskan tawaran pembalakan di situ selepas Datuk Jamaluddin Jarjis, pengerusi TNB ketika itu (kini menteri kewangan kedua) mengesah tahun lalu, yang TNB masih berminat untuk membina empangan itu.
"Kami bertemu tahun lalu. Saya bertanya kepadanya jika TNB masih berminat untuk membina empangan itu. Beliau memberi jaminan yang TNB masih berminat.
"Saya beritahunya, jika TNB tidak lagi berminat, kami akan menawarkan projek itu kepada syarikat lain, Tetapi dia mendesak...anda boleh tanya sendiri perkara itu kepadanya," kata Mustafa.
Janji TNB
Bagaimanapun, Mustafa mengakui tiada sebarang persetujuan bertulis, kerana projek itu dijadualkan bermula dalam tempoh lima atau enam tahun lagi.
"Hanya persetujuan lisan. Kami membincangkan (perkara itu) dan beliau telah berjanji sedemikian...sampai hari ini saya tetap berpegang kepada janji itu. Inilah sebabnya saya tetap menganggap TNB masih berminat. Tetapi jika mereka memberitahu sebaliknya dalam hitam putih, kami tiada masalah untuk mendapatkan syarikat lain," katanya.
Menurut Mustafa, kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional memilih kawasan itu pada tahun 1998 selepas kajian yang dijalankan oleh TNB menyokong pembinaan empangan kedua di situ.
"Apabila kami mengambil alih (kerajaan negeri pada 1999), kami memutuskan untuk menawarkan tender membalak di kawasan itu. Proses itu dikendalikan oleh jawatankuasa khas yang menjalankan urusan pengeluaran tender itu," kata Mustafa.
Katanya, kerajaan PAS bertindak cepat mengendalikan isu itu kerana ia tidak mahu mengulangi kasalahan kerajaan BN sebelumnya yang lambat membuat keputusan sehingga kerugiaan berjuta-juta ringgit daripada hasil pembalakan.
Kerajaan PAS Terengganu menghadapi masalah kewangan selepas kerajaan pusat menggantung pemberian wang royalti minyak yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion setahun atau kira-kira 70 peratus daripada belanjawan kerajaan negeri.
Kawasan tadahan air
Mustafa juga menafikan laporan akhbar yang memetik pegawai Umno Terengganu sebagai mendakwa berlakunya pembalakan berleluasa di kawasan tadahan air di sekitar empangan haidroelektrik Kenyir.
Laporan itu mendakwa kegiatan itu telah merosakkan persekitaran hutan simpan di sekitar kawasan empangan, dengan menunjukkan foto-foto yang diambil dari udara kawasan yang telah dibalak.
Mustafa bagaimanapun menyifatkannya sebagai tuduhan liar yang tidak disokong dengan bukti.
"Mereka dengan mudah hendak membuat kita kelihatan teruk. Jika terdapat bukti, saya pasti mereka akan cepat-cepat mengambil tindakan terhadap kita," katanya.
Pada 5 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad membidas PAS berhubung amalan pembalakan di Kelantan dan Terengganu, ketika ditanya sama ada beliau akan mengarahkan supaya disiasat skandal pembalakan yang membabitkan Umno Pahang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.