Pemandu pelancong akui kongsi bilik secara sukarela
Siasatan ke atas dakwaan bahawa pemandu pelancong dipaksa berkongsi bilik dengan jantina berlainan mendapati pengadu kes berkenaan telah melanggar peraturan Kementerian Pelancongan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen memberitahu Dewan Rakyat semalam, pemandu pelancong wanita berkenaan semasa disoal mengaku secara sukarela menyerahkan kunci biliknya kepada pemandu bas lelaki.
“Keputusan siasatan oleh kementerian mendapati ada bilik khusus yang disediakan kepada pemandu pelancong itu dan tidak ada arahan supaya dia berkongsi bilik dengan pemandu bas tersebut.
“Malah, pemandu bas tersebut juga diberikan elaun penginapan oleh syarikat bas.
“Daripada kenyataan yang dirakamkan, dia (pemandu pelancong itu) mengaku bahawa dia tidak diarah berkongsi bilik oleh majikannya tetapi secara sukarela serah kunci biliknya kepada pemandu bas,” kata Ng.
Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan penangguhan ahli parlimen pembangkang Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang bertanya mengapa kementerian pelancongan tidak menguat-kuasakan pearturan yang ditetapkannya dua tahun lalu.
Er mendakwa kerajaan gagal bertindak terhadap laporan ganguan seksual yang dibuat oleh pemandu pelancong wanita di negara ini yang dianggarkan berjumlah 2,000 orang.
[Baca berita penuh]

