Timbalan Menteri Sumber Manusia Dr Abdul Latiff Ahmad mendedahkan beliau menerima panggilan telefon memintanya menggunakan pengaruh Umno supaya Jabatan Peguam Negara tidak mengambil tindakan lanjut berhubung siasatan mengenai dakwaan penyelewengan dana Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE).

Katanya, pemanggil tersebut yang mendakwa dari NUBE menghubungi semalam, meminta Umno campur tangan bagi menghentikan siasatan terhadap kepincangan yang didakwa berlaku dalam NUBE.

"Beliau minta pertolongan saya sebagai pemimpin Umno, tetapi saya berpegang kepada prinsip bahawa Umno akan rosak jika orang seperti itu dibenarkan menggunakan parti untuk kepentingan peribadi," katanya.

Bernama

melaporkan beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Langkawi hari ini.

Kesatuan yang dianggotai oleh kira-kira 28,000 anggota itu kini sedang menghadapi pergolakan akibat kisis kepimpinan yang sudah berlarutan sejak dua tahun lepas.

Tidak terburu-buru

Kira-kira RM1.2 juta didakwa telah dipindahkan dari tabung NUBE pada bulan Februari lepas. Manakala laporan juruaudit professional baru-baru ini menunjukkan wujud unsur keraguan dalam penggunaan wang tabung NUBE, yang kini dilanda krisis kepimpinan.

Mengenai krisis kesatuan itu, Dr Abdul Latiff berkata masalah itu berpunca daripada sikap beberapa pemimpinnya yang mementingkan diri sendiri.

"Kementerian sendiri telah campurtangan untuk menyesaikan secara baik tetapi tidak berjaya kerana kedua-dua pihak yang bertelagah itu telah menunjukkan sikap tidak mahu berkompromi," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian tidak mahu terburu-buru untuk membatalkan pendaftaran kesatuan itu kerana tidak mahu kepentingan anggota kesatuan itu terjejas.

"Kalau hendak batalkan pendaftaran NUBE, ia adalah tindakan terakhir. Kita tahu ada dua tiga 'nyamuk' yang beri masalah kepada kesatuan itu dan kita tidak akan bakar kelambu hanya kerana dua tiga nyamuk itu," katanya.

Laporan polis

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja sudah membuat laporan polis minggu lepas berhubung unsur keraguan dalam penggunaan wang tabung NUBE. Jabatan itu membuat laporan berkenaan di Balai Polis Putrajaya pada 14 Ogos lepas.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan Onn berkata laporan polis dibuat supaya satu siasatan menyeluruh dapat dijalankan dalam usaha mencari penyelesaian segera demi menjaga kepentingan anggotanya.

"Ketua Pengarah kini dalam proses bekerjasama dengan polis untuk menjalankan siasatan terperinci berdasarkan kepada laporan audit dan lain-lain rekod," kata Fong kepada pemberita selepas melancarkan Skim Latihan Graduan II Kementerian itu di Kuala Lumpur hari ini.

Fong berkata beliau juga telah meminta Ketua Pengarah jabatan itu, Zulkifly Abdullah memberikan kerjasama penuh kepada polis supaya ia dapat diselesaikan segera.