Keputusan HINDRAF sebagai NGO - 30 Jun
Permohonan setiausaha Hindraf Makkal Shakti (HINDRAF) bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk mengetepikan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan tiga lagi yang tidak meluluskan HINDRAF sebagai badan bukan kerajaan (NGO) akan diputuskan pada 30 Jun ini.
Hakim Abang Iskandar Abang Hashim, menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selepas mengadakan pertemuan dengan peguam, M Manoharan yang mewakili setiausaha HINDRAF, P Ramesh dan Peguam Kanan Persekutuan, Noor Hisham Ismail yang mewakili Najib dan tiga yang lain.
Pada 25 Mei lalu, Ramesh, yang dinamakan selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran itu di Pejabat Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan M Manoharan & Co Selain Najib, Ramesh turut menamakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan Pendaftar Pertubuhan Wilayah Persekutuan sebagai responden.
Ramesh turut menuntut satu perintah mandamus mengarahkan responden-responden memutuskan berasaskan Perlembagaan Persekutuan, Akta Pertubuhan dan undang-undang dalam tempoh tujuh hari dari perintah mahkamah supaya membenarkan permohonannya sebagai NGO.
Menerusi afidavit sokongan Ramesh berkata pihaknya telah menghantar permohonan pada 2 Okt 2009 supaya Hindraf diluluskan dan didaftarkan sebagai NGO tetapi responden-responden itu enggan meluluskannya.
Ramesh berkata, permohonan itu dibuat berdasarkan hak kebebasan untuk menubuhkan persatuan yang termaktub dalam Artikel 10(1)(C) dan dibaca bersama Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak sama rata.
Ketika ditemui, M Manoharan berkata, beliau berhujah sehingga ke hari ini pihak responden tidak pernah memfailkan afidavit berhubung kes berkenaan di mahkamah dan setakat ini masih berdiam diri berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.
"Sehubungan itu, peguam kanan persekutuan tidak boleh berhujah di mahkamah tanpa disokong oleh afidavit bagi pihak responden-responden," katanya.
Sementara itu, Noor Hisham memberitahu pemberita, beliau berhujah bahawa responden pertama iaitu Najib dan Hishammuddin, selaku responden kedua tidak sepatutnya dinamakan sebagai responden dalam kes ini kerana mereka bukan pihak yang membuat keputusan sama ada HINDRAF perlu diluluskan dan didaftarkan sebagai NGO.
"Permohonan kebenaran untuk mendapatkan semakan kehakiman ini adalah suatu yang remeh-temeh dan sepatutnya ditolak oleh mahkamah," katanya.
- Bernama

