Najib: Malaysia sedia hantar Idris ke Afrika
Malaysia bersedia membantu negara Afrika untuk melaksanakan transformasi ekonomi dan sanggup menghantar ketua pegawai eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU)nya, Datuk Seri Idris Jala ke sana, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia juga sanggup berkongsi dan belajar dari negara-negara Afrika dalam mentransformasikan dan memajukan perkongsian bestari sosio-ekonomi.
"Malah, kami boleh menghantar Datuk Idris ke negara anda untuk seketika, tetapi tidak boleh lama kerana kami masih memerlukan beliau di sini."
"Beliau tidak boleh dipindah milik dan tiada yuran pemindahan untuk beliau," kata Najib pada majlis penutup Dialog Antarabangsa Langkawi 2011 yang kesembilan.
Najib menyifatkan transformasi bagaikan sebuah perjalanan.
"Mentransformasikan Afrika daripada sebuah benua yang defisit dari segi makanan kepada benua lebihan makanan ialah transformasi dan meningkatkan pengeluaran daripada satu tonne sehektar kepada enam tonne sehektar, juga adalah transformasi.
"Beralih daripada agro kepada perniagaan agro ialah transformasi, menggerakkan tadbir urus yang lemah kepada tadbir urus yang baik juga satu transformasi," tambah Najib.
- Bernama

