Yong Vui Kong, rakyat Malaysia kelahiran Sabah, sedang merengkuk di penjara Singapura. Beliau menunggu hukuman gantung ke atasnya dilaksanakan kerana kesalahan mengedar dadah.

Malaysiakini akan menyiarkan surat-surat terakhir Yong kepada Yetian - seorang anggota kempen "Selamatkan Vui Kong" - sepanjang 12 minggu terakhirnya menghitung kematian.


Yetian,

Kamu pernah minta aku tulis tentang dadah dan hukuman bunuh. Aku jawab, aku tiada hak membicarakannya. Aku sendiri akan menjalani hukuman itu kerana kesalahan mengedar dadah. Juga, aku tidak begitu arif tentang isu ini.

Baru-baru ini, sekali lagi kamu pohon padaku untuk menulisnya.

Semua orang di penjara ini akan digantung sampai mati. Kebanyakan mereka lakukan kesalahan yang sama berkaitan dadah. Ada yang berumur, tetapi kebanyakannya muda.

Mereka melalui perbicaraan penuh dan gagal dalam rayuan. Sebahagiannya masih mengharap pengampunan daripada presiden Singapura. Selebihnya hanya menunggu tibanya "masa". Mereka mempunyai kisah sendiri untuk diluahkan.

Saudara lelakiku, Yun Leong, kenal dengan seorang lagi banduan akhir. Chun Yin namanya. Aku percaya, akhbar ada juga melaporkan kesnya.

Setiap Isnin (hari lawatan keluarga), Yun Leong melihat kelibat bapa Chun Yin di penjara. Suatu masa, di luar penjara, bapanya pernah minta Yun Leong tandatangan petisyen bagi selamatkan hayat Chun Yin.

Peguam aku M Ravi juga pernah maklumkan kesnya padaku. Kisahnya begini: selepas ibu bapanya berpisah, Chun Yin tinggal bersama bapa. Dia membantu perniagaan menjual pakaian dan VCD di sebelah pagi dan menjaja di pasar malam pada petang.

Dia kenal semua pelanggan biasa mereka. Mereka kemudian meyakinkannya terbang ke luar negara dan bawa pulang jongkong emas ke Singapura. Semua rencana disusun oleh pelanggan ini.

Tetapi apa sebenarnya yang tersembunyi dalam beg bukanlah jongkong emas, tetapi dadah. Chun Yin tidak tahu menahu apa yang tersembunyi sehingga polis membongkar selapis demi selapis beg yang dibawanya.

Dia beritahu mahkamah semuanya, termasuk identiti pelanggan itu beserta nombor telefonnya. Tetapi hakim masih tidak percaya. Kata peguam, polis tidak bertindak sebaiknya untuk menjejak pihak terbabit. Dan hakim juga tidak rasa ia penting.

[Baca surat penuh]

YONG VUI KONG, dijatuhkan hukuman mati pada November 2009 kerana mengedar dadah. Beliau hanya berusia 19 tahun. Pada 4 April lalu, beliau gagal dalam rayuan terakhirnya bagi mengelakkan hukuman mati mandatori.

Remaja itu dijadual digantung dua minggu lagi kecuali diberikan pengampunan oleh presiden Singapura.