Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maybank, CIMB batal rundingan gabung - RHB
Diterbitkan:  Jun 24, 2011 9:03 AM
Dikemaskini: 1:06 AM

Malayan Banking Bhd (Maybank) dan CIMB Group Holdings Bhd telah membatalkan perundingan berasingan masing-masing dengan RHB Capital Bhd mengenai kemungkinan mengadakan penggabungan.

Para penganalisis berkata harga pertanyaan mungkin terlalu tinggi yang telah menjuruskan kedua-dua bank utama negara menarik diri bersama-sama.

rhb rashid hussein bank headquaters hq 160307 Maybank, dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata keputusan itu diambil selepas melihat kepada perkembangannya baru-baru ini dan selepas mengadakan pertimbangan selanjutnya.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak dalam kenyataan berasingan berkata, bank percaya yang ia tidak mampu mencapai kepada mewujudkan nilai penggabungan berdasarkan kepada pelbagai perbincangan dan penilaian jangkaan semasa para pemegang saham utama.        

"Perbincangan penggabungan melibatkan sumber dan mengganggu pekerja dan pemegang kepentingan. Oleh itu, saya lebih suka untuk tidak memanjangkan perbincangan ini, sekali gus membolehkan kesemua pihak kembali menjalankan  perniagaan seperti biasa secepat mungkin," kata beliau.

Beliau tidak menyebut apa-apa mengenai harga.

Penganalisis yang dihubungi Bernama berkata desakan ini bermula apabila Abu Dhabi Commercial Bank mula menjual 25 peratus kepentingan kepada dana pelaburan Aabar Investments yang berpangkalan di Abu Dhabi pada harga yang agak tinggi.

Dana itu membayar RM10.80 sesaham untuk kepentingan walhal nilai wajarannya dikatakan sekitar RM10.50 sesaham dan ini juga dikata menyukarkan cadangan pengambilalihan RHB.

Pemerhati pasaran masih menantikan apa yang akan Bank Negara katakan mengenai perkara ini memandangkan niaga janji itu dibatalkan kurang daripada sebulan selepas kelulusan diberikan untuk perundingan mengenai penggabungan.

Penggabungan RHB Capital dengan mana-mana bank boleh mewujudkan apa yang disifatkan sebagai bank terbesar di Asia Tenggara, mengambilalih DBS Group, Singapura.

Pada penutup urus niaga di Bursa Malaysia, Maybank susut dua sen kepada RM8.82 sementara CIMB turun empat sen kepada RM8.51. RHB, sebaliknya pula jatuh  57 sen kepada RM9.03.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS