Pilihan raya Sarawak panduan BN
Datuk Seri Najib Razak berkata BN akan menjadikan keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebagai iktibar dan panduan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Perdana menteri berkata, hasil bedah siasat sama ada dari aspek prestasi, kekuatan dan kelemahan akan dijadikan panduan kepada semua parti komponen BN, tidak hanya di Sarawak tetapi juga di Sabah dan Semenanjung.
" Post mortem pilihan raya itu telah pun diadakan, dan kita mengambil iktibar dari segi apa yang telah kita lakukan, prestasi BN, kekuatan, kelemahan kita, supaya ini dijadikan panduan kepada parti," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur, hari ini.
Ditanya tentang pengajaran utama hasil bedah siasat itu beliau berkata, banyak perkara termasuk soal dalaman parti.
"Tapi saya tak perlu ulas, sebab ini merupakan perkara dalaman, rahsia yang perlu kita kaji dan kita ambil iktibar daripadanya," katanya.
Najib yang juga pengerusi BN berkata, di samping memberi tumpuan kepada usaha memantapkan lagi perpaduan dalam parti masing-masing, persefahaman dan pemuafakatan antara parti komponen juga akan diperhebatkan lagi ke arah memantapkan kerjasama sedia ada.
"Ini adalah amat penting untuk menentukan bahawa segala permasalahan dalaman dapat kita atasi, dengan ini parti kita akan dapat tambah lebih kuat dan lebih kukuh lagi," katanya.
Sementara itu, Najib berkata mesyuarat juga menerima maklum mengenai permohonan 10,000 daripada pelbagai pertubuhan untuk menjadi badan gabungan BN.
"Namun, setelah dirujuk kepada parti komponen hanya 3,000 yang akan diterima di mana keputusan mengenainya akan diumumkan dalam mesyuarat dewan tertinggi yang akan datang," katanya.
--Bernama

