Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Pakatan cuba kekal momentum
Diterbitkan:  Jun 25, 2011 4:09 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Perhimpunan haram yang dicadangkan oleh kumpulan pengacau pada 9 Julai sebenarnya adalah satu cubaan untuk mengekalkan momentum pembangkang bagi menghadapi pilihan raya akan datang, kata penganalisis politik.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Asri Salleh berkata selain itu kumpulan itu juga mahu menguji populariti mereka atau 'to test the waters' untuk menilai sejauh mana sokongan terhadap mereka selain mencetuskan rasa benci rakyat terhadap kerajaan.  

"Mereka ini juga boleh dianggap sebagai mereka yang sengaja mencabar undang-undang yang ada. Agenda mereka hanya mahu berhimpun. Ini boleh mencetuskan bahaya (kekacauan) di ibu kota.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menawarkan untuk berbincang dan sebagainya. Kenapa mereka tolak? Kenapa tak mahu buat di stadium dan sebagainya, seperti yang dicadangkan sesetengah pihak?" katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Asri juga mempersoalkan sama ada aspek keselamatan di dalam perhimpunan itu boleh dijamin oleh pihak penganjur demonstrasi haram dalam ribuan orang yang bakal hadir sebagaimana didakwa kumpulan berkenaan.

"Kalau 100,000 orang nak berhimpun apa jaminan mereka (penganjur) bahawa perhimpunan itu terkawal. Dalam istilah psikologi, dalam kumpulan terdapat segelintir yang akan bertindak mengambil sikap 'mob behaviour' (tingkah laku samseng). Ahli politik dan psikologi tahu perkara ini.

"Tambahan lagi dalam hal ini, yang dilakukan di tempat terbuka... tindakan yang mungkin tidak ada apa-apa pada asalnya boleh bertukar ganas. Sebagai contoh... lihat di dalam stadium sekalipun, di dalam tempat tertutup rusuhan tetap tercetus dengan awalnya hanya sedikit pergaduhan," katanya.

Beliau berkata apabila seekor tebuan menyerang musuhnya, yang lain turut berbuat demikian.

Asri berkata sekiranya perkara ini berlaku, tentunya pihak polis yang akan dipersalahkan kelak, sedangkan pihak berkuasa sejak awal lagi sudah memaklumkan bahawa perhimpunan itu haram dan tidak mendapat permit untuk berkumpul.

Katanya, provokasi pula boleh didalangi mana-mana pihak dan ini boleh menyebabkan situasi tidak terkawal, tambahan pula tiga lagi kumpulan dijangka turut berkumpul pada hari yang sama iaitu Pemuda Umno, PERKASA dan orang awam.

"Agak menghairankan juga kenapa setiap kali demonstrasi hanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kenapa tidak di Jalan Bukit Bintang dan sebagainya? Pastinya ada udang di sebalik batu oleh pengajur dalam memilih lokasi itu," katanya.

Dari sudut perlembagaan walaupun perhimpunan dibenarkan namun ia mestilah dibaca dengan klausa atau perkara yang lain supaya tidak menjejaskan keselamatan atau perniagaan dan rakyat yang lain yang berhak menjalani rutin harian mereka dalam aman, tambahnya.

Sementara itu Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Ghapa Harun berkata situasi itu boleh dilihat dalam dua aspek iaitu golongan yang menyokong demonstrasi dan yang membantah demonstrasi.

Beliau berpendapat senario berkenaan ialah di mana satu pihak yang mengatakan bahawa perhimpunan ini dibolehkan kerana untuk memperlihatkan tuntutan-tuntutan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan seperti hak bersuara dan hak untuk berhimpun.

Katanya, mana yang dilihat baik adalah bergantung kepada bagaimana seseorang membina pandangan daripada perspektif mana yang dipilih.

Beliau berkata bagaimanapun perlu dilihat juga situasi di mana orang yang berhimpun tidak menyusahkan orang lain daripada sudut keamanan, ekonomi dan sebagainya.

 "Perhimpunan ini dikatakan tidak mendapat kebenaran oleh pihak berkuasa jadi pihak berkuasa perlu memikirkan, menilai dan mentafsir apa yang sepatutnya dibuat dalam situasi di mana berlakunya perhimpunan atau tidak berlakunya sebarang perhimpunan untuk mengelakkan sebarang kekacauan berlaku," katanya.

Beliau lebih cenderung supaya polis bertindak sebelum perhimpunan haram itu bermula dengan mengambil langkah-langkah tegas yang diperuntukkan oleh undang-undang negara demi menjaga kestabilan dan keharmonian.

--Bernama

ADS