Mahkamah kekal perintah reman aktivis PSM
Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Zamani Abdul Rahim mengekalkan perintah reman tujuh hari ke atas 30 ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang kini ditahan di tiga lokap polis berasingan di negeri itu.
Zamani berkata perintah reman tersebut - hingga 2 Julai - adalah betul, sah dan bersesuaian.
Beliau berkata, aktivis terbabit sedang disiasat mengikut seksyen 122 Kanun Keseksaan yang membawa "tuduhan yang sangat serius" kerana ia membabitkan keselamatan negara.
Aktivis terbabit sedang ditahan di tiga lokap berasingan di negeri itu.
Ini termasuk lokap di pulau, di Kepala Batas dan Sungai Dua.
Semalam, mahkamah mendengar hujah kedua belah pihak - pendakwaan dan peguambela - mengenai justifikasi tahanan reman selama tujuh hari - dari 26 Jun hingga 2 Julai.
Mereka ditahan ketika menaiki bas di plaza tl Sungai Dua dan disiasat
di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana didakwa melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Kumpulan itu dalam perjalanan untuk siri jelajah kempen 'Udah La Tu Bersaralah' parti itu, yang dilancarkan 24 Jun lalu.
Mereka yang ditahan termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan ahli jawatankuasa pusat PSM, Choo Chon Kai. Seorang lagi dibebaskan kerana di bawah umur.
Menurut Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan, peguam parti itu berhujah bahawa "tindakan mereman mereka adalah tidak wajar".
"Setiap minit reman, mengekang kebebasan ahli-ahli kami. Kami mengharapkan yang terbaik hari ini, "katanya kepada Malaysiakini.
[Baca berita penuh]

