PRM tegur PAS mengenai lebuhraya
Kerajaan Terengganu di bawah pentadbiran PAS ditegur rakannya dalam Barisan Alternatif, PRM, berhubung dakwaan kerajaan negeri itu melanggar manifesto bersama BA apabila ia menyokong projek Lebuhraya Pantai Timur.
"Keputusan kerajaan negeri untuk membina lebuhraya itu bercanggah dengan manifesto BA yang berhasrat menghapuskan tol dan projek mega," jelas PRM dalam satu kenyataannya. Kenyataan PRM Kelantan itu juga menjelaskan langkah itu sebagai "tergesa-gesa."
Bagaimanapun, seorang pemimpin kanan PAS mempertahankan keputusan kerajaan negeri tersebut.
"Manifesto menggariskan bahawa tol sepatutnya adil dan berpatutan dan kami akan berunding dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan hal itu," Naib Presiden PAS Pusat dan juga anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri Mustafa Ali memberitahu malaysiakini hari ini.
Lebuhraya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Terengganu kini dalam proses pembinaan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu pernah berhasrat memberhentikan projek itu apabila Menteri Besar Abdul Hadi Awang menghapuskan kutipan tol di jambatan Sultan Mahmud sebaik sahaja mengambil alih kerajaan. Samy memberi amaran bahawa lebuhraya itu tidak dibina di Terengganu jika kerajaan negeri tidak bersedia membayar tol.
Presiden PRM Dr Syed Husin Ali berkata Terengganu sewajarnya memberikan tekanan kepada kerajaan Persekutuan bagi memastikan kos projek LPT tidak dibebankan ke atas bahu pengguna.
"Mereka sepatutnya berbincang dan sama-sama bersetuju berapakah jumlah bayaran tol yang sesuai," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.