Penggubalan Akta Guaman Syarie perlu disegerakan untuk mengawalselia dan memantau peguam syarie daripada pelbagai sudut, kata Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM).

Presidennya Mohamad Isa Abd Ralip berkata, jika menjadi kenyataan, akta itu boleh mengelakkan salah laku tidak wajar oleh peguam syarie, seperti menipu anak guam, membawa pembuktian palsu dan mengenakan caj tidak munasabah.

Tambahnya, ini kerana buat masa ini tiada badan tertentu mempunyai kredibiliti untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap peguam terbabit.

"Kebanyakan negeri hanya mempunyai kaedah-kaedah peguam syarie hanya mengandungi cara pelantikan peguam syarie sahaja dan tidak mengandungi perkara berkaitan dengan tatatertib dan disiplin seorang peguam syarie," katanya.

Dalam kertas kerjanya yang dibentangkan dalam konvensyen peguam syarie di ibu negara hari ini, Mohamad Isa juga berkata, akta itu akan merintis penubuhan Majlis Peguam Syarie.

Katanya, majlis itu akan berperanan seperti Majlis Peguam Malaysia yang mengadakan kemudahan, memaju dan menjaga kepentingan peguam syarie.

"Taraf profesion peguam syarie juga akan lebih dimuliakan setanding kedudukan peguam cara dan peguam bela yang dikawalselia bawah Akta Profesion Undang-undang 1976," katanya.

Selain itu, menurut Mohamad Isa lagi, kelemahan lain seperti tatacara penerimaan beramal di setiap negeri dan perbezaan syarat kelayakan untuk berkhidmad akan dapat diselesaikan.

"Akta yang dicadang akan menyeragamkan tahap kebolehan dan integriti peguam syarie seluruh Malaysia dan diharap dapat memberi keyakinan kepada orang awam apabila mengguna khidmat peguam syarie dalam tindakan di mahkamah syariah.

"Dengan perubahan yang ingin dilakukan, seharusnya akan memberikan lembaran baru kepada peguam syarie di Malaysia serta dapat memartabatkan dan meletakkan peguam syarie seiring dengan peguam sivil," katanya.