Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Bebaskan segera tahanan ISA: Suhakam
Published:  Apr 11, 2001 4:27 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini menyeru kerajaan membebaskan segera semua aktivis pembangkang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam dan hari ini.

"Jika mereka melakukan kesalahan, dakwa dan bicarakan mereka di mahkamah terbuka," kata badan itu yang beroperasi sejak setahun lalu kepada agensi berita AFP lewat petang ini.

Suhakam juga mendesak agar tahanan tersebut dibenarkan bertemu anggota keluarga, peguam dan doktor.

Suruhanjaya yang dibentuk oleh akta parlimen itu juga berkata perkembangan terbaru ini berbeza dengan dugaannya bahawa kerajaan semakin peka, walau perlahan-lahan, terhadap isu-isu hak asasi manusia.

Tambah kenyataan itu lagi, dalam langkah menilai undang-undang yang mencabuli hak-hak asasi, Suhakam akan membuat cadangan sama ada untuk meminda atau menghapuskan akta tersebut.

Tengahari tadi, tiga anggota suruhanjaya itu menemui isteri-isteri empat tahanan ISA dan akan mengambil tindakan segera terhadap aduan kumpulan wanita tersebut.

Pagi tadi, polis menahan dua lagi aktivis reformasi, menjadikan jumlah tujuh orang setakat ini.

Seorang exco Pemuda Parti Keadilan Nasional Abdul Ghani Harun disahkan ditahan polis di lapangan terbang Kuching, Sarawak ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Jaga anak-anak

Menurut Ketua Penerangan parti itu Ruslan Kassim, Ghani ditahan sekitar jam 10.30 pagi oleh lima anggota polis berpakaian biasa.

Sementara menurut isteri Ghani, Roslizah Syed, suaminya berada di sana kerana menghadiri satu majlis ceramah.

Menurutnya, sekitar jam 10 pagi tadi, beliau masih berjaya berhubung dengan Ghani. Dalam perjalanan ke lapangan terbang, kata Roslizah lagi, suaminya berpesan agar "bersiap sedia dan jaga anak-anak" memandang beberapa aktivis Pemuda parti itu kini ditahan di bawah ISA.

Bagaimanapun kira-kira jam 11.30 pagi, seorang rakan aktivis Keadilan itu menghubunginya dan mendakwa Ghani kini ditahan polis, jelasnya kepada malaysiakini .

Pengendali laman web Kempen Bebaskan Anwar (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin ditahan polis sekitar jam 9.30 pagi ini ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Buloh, Selangor.

Satu sumber yang rapat dengan beliau memberitahu malaysiakini , isteri Raja Petra memaklumkan kepadanya sebentar tadi.

Selain Raja Petra dan Ghani, lima orang lagi ditahan ISA mulai jam 5 petang hingga menjelang tengah malam semalam.

Mereka adalah Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, Setiausaha Pemuda N Gobala Krishnan, pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan 'memorandum rakyat' Saari Sungib dan penulis tamu malaysiakini dan juga aktivis reformasi Hishamuddin Rais.

ADS