Harapan 338 guru sekolah agama rakyat (SAR) di Kelantan untuk menerima surat tawaran untuk menyertai perkhidmatan kerajaan punah apabila Jabatan Pendidikan Negeri hanya memberi mereka surat tawaran contoh pada 14 Ogos lepas.

Tindakan jabatan berkenaan jelas bercanggah dengan kenyataan Menteri Pendidkan Tan Sri Musa Mohamad yang mengumumkan bahawa kementerian telah mula menghantar surat perlantikan kepada mereka yang mendaftar sejak Februari lalu.

Di samping itu juga mereka diminta menyatakan pendirian politik mereka sama ada 'mendokong visi dan misi kerajaan persekutuan tanpa berbelah-bagi' atau sebaliknya.

Keadaan bertambah buruk apabila sebahagian daripada mereka telah meletakkan jawatan di sekolah agama rakyat setelah mendapat surat jemputan menghadiri satu majlis yang kononnya diadakan untuk menyampai surat tawaran perkhidmatan kepada mereka.

"Mereka diberi surat jemputan yang bertajuk: Majlis Taklimat dan Penyerahan surat tawaran menyertai perkhidmatan pendidikan Malaysia. Tetapi apabila sampai di sana, mereka hanya diberi contoh surat tawaran untuk jawatan guru sandaran," kata jurucakap Pertubuhan Kebangsaan Sekolah Agama (Perkasa) Mohd Radhi Ismail.

"Bayangkanlah perasaan mereka yang telah meletakkan jawatan tetapi tidak ada hitam putih yang menjamin mereka akan diterima oleh jabatan pendidikan," katanya.

Sokongan

Beliau juga menyoal keikhlasan tawaran tersebut kerana meraka yang menghadiri majlis taklimat itu, yang diadakan pada 14 Ogos lalu, di Maktab Perguruan Kota Bharu itu, telah diberitahu mereka hanya akan diberi tawaran rasmi setelah mengisi borang maklumat diri dan borang perakuan tapisan.

"Borang perakuan tapisan itu memerlukan calon mendapatkan perakuan tokoh atau orang rujukan yang akan membuat penilaian sokongan mereka terhadap kerajaan persekutuan," katanya lagi.

Mengikut salinan yang diperolehi oleh malaysiakini , di bahagian "D" borang tersebut, orang rujukan akan menentukan jika calon tersebut mempunyai " Tahap kewibawaan tinggi dan mendokong visi dan misi kerajaan persekutuan tanpa berbelah-bagi " atau "Tahap rendah dan tidak mendokong misi dan visi kerajaan persekutuan."

"Ini menunjukkan tawaran ini berbaur politik dan jelas ianya dibuat bukan untuk peningkatan SAR tetapi seperti ada niat lain," tambahnya.

Menurut Radhi lagi, Perkasa kesal dengan tindakan pihak kerajaan itu kerana ianya bukan sahaja menyusahkan guru-guru berkenaan tetapi juga pihak sekolah dan sekaligus menganggu proses pembelajaran pelajar.

"Ini kerana 338 guru ini tidak pasti sama ada untuk meneruskan perkhidmatan mereka di SAR atau tidak, dan ini menyulitkan pihak sekolah bagi membuat kepastian jumlah kekosongan yang perlu diganti.

Letak jawatan

"Perkasa tidak pernah menghalang guru yang ingin menyertai (sekolah kebangsaan) tetapi janganlah memperdayakan guru-guru tersebut. Buatlah dengan cara yang betul," katanya.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Abdul Aziz Yusoff - badan yang bertanggungjawab menggaji guru-guru SAR - berkata mereka yang meletakkan jawatan boleh mengemukakan rayuan untuk mengajar semula.

"Ada ruang untuk mereka merayu tetapi kami tidak boleh berjanji mereka akan diterima semula," katanya ketika dihubungi hari ini.

Setakat ini, katanya, lebih 80 guru telah meletakkan jawatan dan bilangan itu dipercayai akan meningkat setelah kerajaan mengeluarkan surat tawaran rasmi.

"Kebanyakannya masih dalam keadaan tunggu dan lihat. Jika ada tawaran mereka akan meninggalkan YIK... jika tidak mereka akan terus berkhidmat di SAR.

"Ini menyulitkan proses pengambilan guru baru yang akan bermula September ini. Kita tidak tahu berapa orang guru baru yang perlu diambil. Kami tidak mahu bertindak pada saat-saat terakhir kerana takut pelajar akan terbiar tanpa bimbingan, terutama ketika menjelangnya peperiksaan PMR, SPM dan STPM," tambahnya.

Berdiam diri

Untuk mengatasi masalah ini, katanya, YIK telah meminta 338 guru tersebut menyatakan komitmen mereka sama ada untuk berkhidmat dengan SAR atau sebaliknya.

"Walaupun ada yang telah berubah fikiran untuk tidak menyertai perkhidmatan kerajaan, jumlahnya tidak banyak. Yang lain masih berdiam diri," katanya lagi.

Mengenai pengambilan guru baru, Abdul Aziz berkata, proses tersebut tidak begitu sukar kerana YIK telah menerima banyak permohonan dari graduan baru yang menganggur untuk mengisi kekosongan tersebut.

Tawaran kementerian pendidikan itu telah ditentang oleh pendokong SAR yang menyifatkan tindakan itu sebagai satu helah untuk mematikan sistem pendidikan Islam tertua di Malaysia.

Banyak sekolah agama rakyat di Kedah berada dalam keadaan genting ekoran tawaran tersebut.

Kontroversi berhubung isu SAR tercetus Oktober lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pemberhentian bantuan kewangan kepada sekolah agama tersebut.

Dr Mahathir mendakwa sekolah terbabit bukan menyebarkan pengajaran Islam tetapi sebaliknya menyemai kebencian pelajarnya terhadap kerajaan.

Bagaimanapun, pendokong SAR menyangkal dakwaan itu dan berkata keputusan itu dibuat atas dasar politik Umno.

Perdana Menteri juga mengumumkan keputusan muktamad kerajaan tidak akan menyambung semula bantuan perkapita, sebaliknya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji isu pendidikan.