Isu liwat: Nik Aziz minta rujuk kepada penggubal enakmen
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pihak yang mempertikaikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan supaya merujuk kepada penggubal enakmen itu.
Bernama memetik beliau sebagai berkata, penggubal enakmen itu terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang agama Islam termasuk pensyarah universiti dan kadi-kadi besar.
"Adalah lebih baik tidak membuat bising dalam surat khabar, kalau nak tahu sungguh jumpalah dengan orang ini (penggubal enakmen), mereka tahu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah agama di Bangunan PAS Negeri di Kota Baru, hari ini.

Rabu lalu, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Zaid Ibrahim mendakwa Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu dan Seksyen 16 Kanun Jenayah Syariah 11 (Kelantan), membenarkan seorang suami meliwat isterinya.
Menurut Zaid, kedua-dua seksyen tersebut berbunyi: "Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur."
Zaid mendakwa perkataan "selain daripada isterinya" membawa makna si suami boleh meliwat isterinya, dan perbuatan itu tidak menjadi kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu dan Kanun Jenayah Syariah 11 (Kelantan).
Pinda
Sedangkan, katanya, perbuatan liwat merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan.
Oleh itu, katanya, pemimpin PAS perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengapa perkara itu boleh berlaku sedangkan ianya bukan sahaja bertentangan dengan Kanun Keseksaan tetapi juga di segi agama. Beliau juga turut membayangkan kemungkinan membuat laporan polis mengenai perkara ini.
Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam menggesa kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu supaya meminda undang-undang tersebut.
Mengulas mengenainya, Nik Aziz sebaliknya mencadangkan supaya kerajaan pusat menerima terlebih dahulu enakmen berkenaan.
"Nak pinda tu terima dulu, nak pinda macam mana (kalau kerajaan pusat) tak terima lagi," katanya.
Beliau berkata permintaannya supaya kerajaan pusat menerima pelaksanaan hukum Hudud telah lama disuarakannya: "...terima dulu Hudud ini, nanti kalau ada masalah kita pakat-pakat baiki."
Debat
Sementara itu Harakah melaporkan yang Dewan Pemuda PAS Kelantan bersedia menganjurkan perdebatan dengan pemimpin Umno termasuk Zaid berkaitan isu liwat.
Menurut ketua pergerakan tersebut, Zulkafli Yacob, surat susulan kepada Umno dan Zaid akan dihantar tidak lama lagi untuk membolehkan debat mengenai isu tersebut diadakan bagi menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan oleh pemimpin terbabit.
Harakah
turut memetik setiausaha Keadilan Kelantan, Mohd Soba Hussin sebagai berkata, yang satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat ini kerana "kenyataan Zaid jelas mengelirukan orang ramai".

Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.