Akhbar tabloid terbitan PAS, Harakah , hari ini mendedahkan Kementerian Dalam Negeri telah menyampaikan surat tunjuk sebab mengapa permit akhbar itu tidak boleh ditarik. Pengarangnya, Zulkifli Sulong, memberitahu malaysiakini bahawa KDN telah memberikan tempoh sehingga 8 Januari depan kepada Harakah sebelum pihak berkuasa itu mengambil tindakan. Kementerian, dalam suratnya kepada tabloid itu, menyatakan pihaknya sudah pun mengumpulkan bukti yang lengkap untuk bertindak.

KDN dalam suratnya mempertikaikan cara jualan Harakah kepada orang ramai yang bukan ahli PAS. Menurut kementerian, permit asal tabloid itu hanyalah untuk ahli-ahli parti dan ia sepatutnya dijual di markas dan pejabat PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, malaysiakini difahamkan majalah politik popular, Detik , juga menerima surat tunjuk sebab mengapa permit majalah itu tidak boleh ditarik. KDN mempertikaikan isi kandungan majalah itu yang memberikan liputan kepada parti-parti pembangkang dan, menurut kementerian, Detik telah melanggar syarat permit apabila menukar konsep penerbitan daripada pendidikan kepada politik.

Hari ini pihak pengurusan Harakah mengadakan mesyuarat dengan pengedar-pengedar utama Harakah . Pertemuan ini diadakan ekoran operasi KDN merampas Harakah dan desakan dari pihak Umno agar tabloid itu tidak lagi dijual kepada umum. Hari ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob dipetik sebagai berkata "Harakah sepatutnya sudah lama diharamkan." Minggu lalu, kementerian merampas 2,630 naskhah Harakah di Kuala Lumpur atas kesalahan "menjual kepada bukan ahli PAS."

"Kami bersetuju mengedarkan Harakah di markas dan pejabat PAS, dan melalui langganan," kata Zulkifli. "Tetapi kami memerlukan masa dua bulan untuk merancang dan melaksanakan kaedah pengedaran baru ini. Kami terpaksa membina pusat-pusat baru pengedaran di markas-markas PAS dan juga mengumpul nama-nama pelanggan Harakah ."

Beliau menambah pembaca tabloid itu boleh juga menganggotai PAS untuk "membaca Harakah mengikut kehendak undang-undang."