Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) akan mengadakan sessi temuduga untuk tenaga pengajar bagi sekolah agama rakyat (SAR) secepat mungkin bagi menggantikan mereka yang menerima tawaran untuk menyertai perkhidmatan kerajaan.

Pendaftar sekolah-sekolah agama di MAIK, Abdul Hamid Abdullah, memberitahu malaysiakini pihaknya sedang mengumpul permohonanan baru sebelum memulakan sessi temuduga.

"Kalau boleh, kami mahu mengadakan temuduga itu bulan ini juga... tetapi kami tidak boleh terburu-buru, kerana apa-apa perlantikan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi hari ini.

"Kami perlu bertanya kepada kerajaan negeri yang bertanggungjawab tentang pembayaran gaji guru-guru MAIK. Setakat ini, kami hanya boleh uruskan temuduga dan memilih calon tetapi perlantikan mereka hanya akan dibuat selepas kerajaan negeri bersetuju untuk menggaji mereka," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah yang melanda SAR diseluruh negara setelah 1,300 gurunya memilih untuk menerima tawaran berkhidmat di sekolah kebangsaan pada Februari lalu. Surat tawaran itu telah dihantar sejak pertengahan Julai lalu.

Minggu lepas, badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Bertindak Umat Selamatkan SAR (Gegar) mendakwa MAIK kurang bersungguh-sungguh untuk menggantikan guru yang menerima tawaran tersebut.

Ramai berhenti

Sebelum ini, kata Abdul Hamid, terdapat lebih 900 guru yang mengajar di 45 SAR di Kedah, termasuk 460 orang yang dilantik oleh MAIK.

Daripada jumlah itu, katanya, 403 guru SAR di Kedah telah menerima tawaran berkhidmat di sekolah kebangsaan, termasuk 180 guru lantikan MAIK.

Menurutnya lagi, MAIK tidak pernah bersikap sambil lewa dalam hal ini kerana menyedari ianya membabitkan nasib pelajar SAR yang bakal menghadapi peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya baru sahaja memberi laporan mutakhir tentang sekolah agama rakyat di Kedah kepada Tuanku Sultan Kedah kelmarin...kami sedar ianya penting...namun usaha kami terbatas dan tertakluk kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau tidak boleh mengagak bila kerajaan negeri boleh memberi jawapan terhadap perkara ini dan hanya boleh mengharap yang terbaik untuk pelajar SAR.

"Tambah pula, status SAR tidak menentu. Laporan Tan Sri Murad Mohd Noor belum keluar lagi...kita tidak tahu apa akan jadi kepada SAR...jadi kami pening kepala kerana ini menghindar kami membuat apa-apa keputusan melibatkan SAR. Mungkin kerajaan negeri pun berasa begitu," katanya.

Majlis Raja-Raja

Kontroversi berhubung isu SAR tercetus Oktober lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pemberhentian bantuan kewangan kepada sekolah agama tersebut.

Dr Mahathir mendakwa sekolah terbabit bukan menyebarkan pengajaran Islam tetapi sebaliknya menyemai kebencian pelajarnya terhadap kerajaan.

Bagaimanapun, pendokong SAR menyangkal dakwaan itu dan berkata keputusan itu dibuat atas dasar politik Umno.

Perdana Menteri juga mengumumkan keputusan muktamad kerajaan tidak akan menyambung semula bantuan perkapita, sebaliknya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji isu pendidikan Islam.

Majlis Raja-Raja telah mengarahkan jawatankuasa yang sama mengkaji kedudukan SAR selepas menerima memorandum daripada pelbagai pihak termasuk dari Gegar dan PAS yang membantah keputusan kerajaan menghentikan bantuan perkapita, sehingga menjejaskan operasi sekolah-sekolah terbabit.