Badan bukan kerajaan, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mendakwa pihaknya mendapat maklumat bahawa Padiberas Nasional Berhad (Bernas) tidak mengalami kerugiaan sepertimana yang didakwa sebelum ini.

Menurut kenyataan Teras, pihaknya mendapat maklumat bahawa berdasarkan mesyuarat agung Bernas yang terakhir, syarikat itu sebenarnya telah mencacatkan keuntungan.

Oleh itu, Teras mendesak kerajaan supaya menyiasat dakwaan bahawa Bernas telah mengalami kerugiaan.

Tandatanya

"Kekeliruan maklumat ini menjadi tandatanya kepada keputusan membuang pekerja yang diputuskan oleh pihak pengurusan (Bernas).

"Untuk mengelak penganiayaan ke atas pekerja Bernas, Teras mendesak kerajaan melakukan siasatan terhadap dakwaan kerugian yang telah didedahkan oleh Menteri Pertanian," kata Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Bernas baru-baru ini mendakwa menanggung kerugian besar akibat kegiatan penyeludupan beras sehingga memaksa syarikat itu melakukan pengurangan pekerja serta menyusun semula organisasinya.

Ini termasuk pelantikan naib presiden kanan kumpulan Bernas, Perkhidmatan Korporat dan Perniagaan lain, Ahmad Fuad Abdul Wahab, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) - satu jawatan baru - yang bertanggungjawab ke atas keseluruhan operasi perniagaan Kumpulan Bernas.

Ketidaktelusan

Sambil menggesa supaya perkara disiasat, Mohd Azmi juga mempersoalkan bagaimanakah wakil Kementerian Kewangan dalam Lembaga Pengarah Bernas tidak dapat mengesan wujudnya ketidaktelusan pengurusan dan memantau sama ada berlaku pelanggaran perjanjian pengswastaan syarikat berkenaan.

"Oleh itu, kami mendesak agar Kementerian Kewangan menjelaskan kenapa pengurusan Bernas berjalan tidak seperti yang dicatat dalam dokumen perjanjian "Buku Biru" yang sepatutnya mengikat pengurusan Bernas dalam urusan perniagaannya," tambahnya.

Beliau juga menggesa supaya disiasat bagi menentukan sama ada berlaku salahguna AP bagi import beras sepertimana kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

"Kami berpendapat sudah tentu wujud satu pakatan yang sangat halus dalam segala rundingan dengan pihak pembekal di luar negara. Perundingan yang dijalankan dengan tidak telus ini memberi laluan untuk membawa masuk beras di luar kelulusan," tambah Mohd Azmi.