Dewan Pemuda PAS Kelantan membuat laporan polis terhadap timbalan pengerusi Umno Kelantan, Zaid Ibrahim ( kanan ) yang mendakwa liwat bukan satu kesalahan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan, jika ianya dilakukan terhadap isteri.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Kota Bharu pada jam 11 pagi ini. Turut hadir ialah ketua Pemuda Pas Kelantan, Zulkafli Yacob; timbalannya Zaki Ibrahim, setiausahanya, Razak Ghani; ketua penerangannya, Nasir Mat Soh dan ketua-ketua pemuda PAS kawasan di Kelantan.

Menurut Bernama , dalam laporan itu, mereka menyifatkan Zaid cuba mempertikaikan undang-undang yang sah diluluskan oleh Sultan Kelantan serta diwartakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, dan dengan itu melanggar Fasal 72 dan Fasal 73 Perlembagaan Malaysia.

Mereka juga mendakwa, kenyataan Zaid itu melanggar Fasal 121 dan Fasal 128 Perlembagaan Malaysia dengan merampas bidangkuasa badan Judisiari/Mahkamah dalam mentafsirkan enakmen/undang-undang tanpa mempunyai kuasa dan kebenaran yang sah.

Mereka turut mendakwa yang Zaid cuba memfitnah pemimpin dan Kerajaan Negeri Kelantan, dengan menuduh bahawa masa depan rakyat Kelantan akan gelap jika mempercayai PAS dan pemimpin kerajaan negeri itu mengamalkan pemerintahan autokratik atau diktator dengan menggunakan agama serta mengembangkan cara pemerintahan diktator.

Lunas demokrasi

"Sedangkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia memperakukan dan mengisytiharkan kemenangan pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai sah mengikut lunas demokrasi dan oleh yang demikian kenyataan itu melanggar Fasal 113 dan 118 Perlembagaan Persekutuan dengan menghasut rakyat membenci pemimpin kerajaan negeri Kelantan," kata laporan tersebut.

Baru-baru ini, Zaid mendakwa seksyen mengenai kesalahan liwat dalam Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu dan Seksyen 16 Kanun Jenayah Syariah 11 (Kelantan), membenarkan seorang suami meliwat isterinya.

Katanya, ini kerana kedua-dua seksyen tersebut berbunyi: "Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur."

Beliau mendakwa perkataan "selain daripada isterinya" membawa makna si suami boleh meliwat isterinya, dan perbuatan itu tidak menjadi kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu dan Kanun Jenayah Syariah 11 (Kelantan).

Sedangkan, kata Zaid, perbuatan liwat merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Oleh itu, katanya, pemimpin PAS perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengapa perkara itu boleh berlaku sedangkan ianya bukan sahaja bertentangan dengan Kanun Keseksaan tetapi juga di segi agama.