Polis masih mengesan tiga pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Perlop yang melarikan diri awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Azman Salim berkata ketiga-tiga mereka yang dikenali sebagai Mohamad Faizul Shariman, 24, Al-Hafiz Ismail, 26, dan Kamarulzaman Kamarudin, 41, dipercayai berada di luar kawasan Sungai Siput.

"Usaha mengesan mereka dipergiatkan termasuk menerusi sekatan jalan raya," katanya ketika dihubungi, di Ipoh hari ini.

Azman turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tiga pelatih itu agar menghubungi polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, pelatih terbabit dipercayai meloloskan diri dengan memanjat pagar berdasarkan kain selimut yang tersangkut pada pagar tersebut.

- Bernama