Hubungan M'sia-Vatican rangsang dialog antara agama
Jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Holy See di Vatican merupakan perangsang positif bagi inisiatif Pergerakan Kesederhanaan Global yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon hari ini.
Dalam satu kenyataan, Tsu Koon yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Vatican kini boleh bekerjasama menggalakkan nilai-nilai kesederhanaan dan inklusif menerusi dialog antara agama yang lebih bermakna dan bertukar-tukar pandangan selaras dengan semangat 1Malaysia dan 1Dunia.
Beliau berkata, sebagai seorang daripada anggota delegasi Malaysia ke Vatican dan sebagai seorang penganut Buddha, ia merupakan pengalaman berharga bagi dirinya dapat bertemu Pope Benedict XVI di Castel Gandolfo.
Tsu Koon turut melawat Majlis Pontifical bagi Dialog Antara Agama dan Institut Pontifical bagi Pengajian Bahasa Arab dan Islam di bawah pentadbiran Holy See untuk mengkaji kemungkinan bagi kedua-dua institusi itu menjalin hubungan dengan institusi di Malaysia bagi menggalakkan persefahaman antara agama.
Katanya, Najib telah mengilhamkan idea untuk melawat Vatican dua tahun lepas, tetapi ia hanya direalisasikan pada Mei tahun ini selepas perbincangan dengan Papal Nuncio (Duta) Holy See ke Singapore, Leopoldo Girelli dan Ketua Biskop Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam.
- Bernama

